Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Terdapat keperluan untuk melihat semula Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2020 (Akta 605) bagi memberi pengecualian kepada universiti awam dalam beberapa perkara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata langkah itu bagi memastikan universiti awam di negara ini tidak terikat dalam keseluruhan pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada badan-badan berkanun.

Katanya, ia bagi memastikan iklim dan ekosistem UA terutama membabitkan pensyarah tidak terkongkong dalam menyuarakan pandangan mereka.

Beliau berkata, di bawah Akta 605, terdapat 12 institusi yang mendapat pengecualian itu, justeru sudah sampai masanya UA, yang juga dikategorikan sebagai badan berkanun mendapat pengecualian sama.

“Kita perlu melihat dalam konteks UA ini supaya tidak terbabit dalam keseluruhan pekeliling secara umum yang diberikan kepada pihak yang tertakluk dalam kategori badan berkanun.

“Ini sedang kita lakukan dan ia adalah langkah ke hadapan serta radikal supaya iklim sebuah universiti tidak terkongkong dan ketakutan untuk menyampaikan pandangan mereka.

“Bagaimanapun, ia dengan syarat, dalam tradisi kesarjanaan, seseorang yang bercakap itu tidak merapu tanpa fakta dan membuat teori yang bukan-bukan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mengenai langkah kementerian bagi memastikan insiden seperti larangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang melarang kakitangannya membuat kenyataan awam, tidak berulang semula.

Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, melalui platform X mendakwa menerima satu dokumen, iaitu memo dalaman daripada rakan akademik bahawa UKM tidak membenarkan sebarang kenyataan awam dikeluarkan, melainkan mendapat arahan berbuat demikian.

Bagaimanapun, UKM menafikan pihaknya menghalang kebebasan mana-mana kakitangannya untuk mengeluarkan sebarang kenyataan, sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.

Pada 4 Oktober lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, mengingatkan semua pegawai awam supaya tidak membuat pernyataan awam termasuk menerusi media sosial melainkan diberi kuasa atau mandat oleh pihak kementerian atau jabatan.

Menurut hantaran Facebook JPA, Shamsul Azri mengingatkan perkara berkenaan menerusi Mesyuarat Pengurusan Jabatan Perdana Menteri Tahun 2024.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, KPT juga sudah memaklumkan kepada UA supaya sebarang arahan yang diterima tidak ditafsir secara sehala, yang boleh dilaksanakan di semua peringkat.

“Jika ada kekeliruan dalam tafsiran (arahan) yang dikeluarkan, maka hendaklah terlebih dahulu dimaklumkan kepada KPT untuk kita perjelaskan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Saifuddin mengenai UA tidak boleh dilihat seperti sebuah jabtaan kerajaan lain, selain perlu menggunakan konsep penilaian, berbanding ukuran, Zambry bersetuju bahawa dunia pendidikan tidak boleh terlalu kaku.

“Sebagai contoh, mengenai kehadiran pensyarah di universiti kerana mereka tidak boleh dilihat hanya dalam konteks perkhidmatan awam. 

“Untuk memaksa mereka datang, daftar masuk jam 8 pagi dan balik jam 5 petang, itu bukan dunia akademik kerana dunia akademik terbahagi kepada dunia pengajaran, kajian dan tertakluk kepada eksosistem.

“Ini antara perkara yang kita lakukan (kaji) supaya mengembalikan semula roh universiti yang sebenar,” katanya.-BH Online