Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa kebebasan ahli akademik universiti tempatan untuk menyuarakan pandangan tetap akan dipertahankan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kementerian tidak menyekat kebebasan ahli akademik dalam kalangan pensyarah namun setiap kenyataan atau pandangan yang dikeluarkan perlu bersandarkan kepakaran masing-masing.

Beliau berkata, pandangan yang diberikan itu juga perlu berdasarkan fakta dan penyelidikan kerana perkara itu menjadi disiplin dunia akademik dan tidak hanya bercakap secara semberono.

“Walaupun kita tahu hasil daripada kajian dan pandangan mereka mungkin tidak baik bagi sesetengah pihak tertentu ataupun agak kritikal tetapi jangan dijadikan sebagai satu alasan untuk mengekang kebebasan mereka.

“Selagi mereka (ahli akademik) memberi pandangan berdasarkan disiplin ilmu dan berlatarbelakangkan kepada kajian, bukti serta data saya berfikiran adalah tidak wajar kepada mana-mana pihak untuk cuba mengekang kebebasan mereka,” katanya kepada pemberita pada Majlis Konvensyen Akademia 2024 di kementeriannya, di sini, hari ini. 

Seramai 200 ahli akademik mewakili universiti tempatan hadir dalam konvensyen anjuran Akademi Profesor Malaysia. 

Kenyataan Zambry itu merujuk kepada pertanyaan pemberita berhubung kenyataan dikeluarkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menafikan pihaknya menghalang kebebasan mana-mana kakitangannya untuk mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.

UKM berkata, pihaknya meraikan sebarang perbezaan pendapat yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

Katanya, sebagai institusi yang menyanjung tinggi intelektual awam, UKM sentiasa konsisten dalam menggalakkan warganya untuk bersuara berteraskan kepada tradisi ilmu dan peranannya sebagai Universiti Watan.

Zambry berkata, beliau memahami apa yang ingin disuarakan oleh UKM dan keprihatinan beberapa pihak melalui surat yang dikeluarkan oleh pekeliling dalaman bagi memberi peringatan kepada kakitangan termasuk ahli akademik di universiti berkenaan. 

“Bagaimanapun kita akan melihat dalam konteks Akta Badan- Badan Berkanun Tatatertib dan Surcaj 2000 (Akta 605) dari konteks kebebasan golongan ahli akademik.

“Setiap pekeliling yang hendak dikeluarkan sama ada daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia (KPPA) dan sebagainya perlu melihat dalam konteks di universiti kerana ia agak berbeza dari segi budaya dan ekosistem.

“Kita tidak mahu setiap arahan yang dikeluarkan itu ditafsirkan sebagai mengekang hak dan juga kebebasan ahli akademik dalam sesebuah universiti.

“Kita akan lihat secara menyeluruh pengecualian-pengecualian yang boleh diberikan kerana difahamkan terdapat beberapa perkara dikecualikan kepada institusi tertentu,” katanya.-BH Online