Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JAKARTA: Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini bagi menghadiri upacara mengangkat sumpah Prabowo Subianto sebagai presiden baharu Indonesia yang akan berlangsung esok.

Pesawat khas membawa Perdana Menteri selamat mendarat di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur pada jam 6 petang waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia).

Sejurus tiba, beliau disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan disambut mesra Menteri Pelaburan Indonesia, Rosan Roeslani.

“Ini adalah detik penting bagi kedua-dua negara. Selain memenuhi undangan daripada kerajaan Indonesia, lawatan kerja Perdana Menteri akan mengukuhkan hubungan dua hala dan memperkasakan kerjasama ASEAN, yang akan dipengerusikan oleh Malaysia tahun hadapan,” kata Syed Md Hasrin.

Anwar diberikan sambutan permaidani merah serta kawalan kehormatan oleh anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) di lapangan terbang ketika nyanyian lagu kebangsaan dimainkan.

Beliau akan menyertai 20 ketua negara asing dan wakil lain pada majlis pelantikan yang diadakan di bangunan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) esok, yang akan bermula jam 10 pagi waktu tempatan.

Pemimpin yang mula tiba sejak Jumaat akan mengambil bahagian dalam majlis pelantikan bersejarah itu, di mana Prabowo akan dilantik secara rasmi sebagai Presiden kelapan Indonesia.

Sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden 2024, Presiden Terpilih Prabowo dan Naib Presiden Terpilih Gibran Rakabuming Raka akan menggantikan Joko Widodo dan Ma’ruf Amin.-BH Online