Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini memperkenalkan inisiatif GEMPUR dalam usaha menangani ketirisan, di samping memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata KITA GEMPUR itu adalah akronim bagi keterlibatan empat sektor yang penting iaitu (K) agensi Kerajaan, (I) pemain Industri, (T) Tatakelola dan (A) partisipasi Awam, yang terlibat dalam Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR).

Beliau berkata gerakan itu sejajar dengan penegasan kerajaan MADANI yang mahu melihat subsidi yang diberikan sampai kepada golongan sasar, di samping mengelakkan ketirisan khususnya melibatkan barang kawalan bersubsidi.

“Kerajaan juga menekankan kepada aspek pematuhan aktiviti perniagaan dengan kod etika dan perundangan seperti penipuan dalam promosi, e-dagang selain menangani isu kartel,” katanya kepada pemberita sempena Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Kompleks Sukan Likas di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan inisiatif KITA GEMPUR itu di Program MADANI Rakyat 2024 hari ini.

Hadir sama di program hari ini ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan Sabah.

Armizan berkata monopoli atau manipulasi pihak kartel boleh mengganggu harga barangan serta perkhidmatan untuk rakyat di pasaran, oleh itu KPDN bersama rakan strategik dan agensi penguatkuasa akan memberi komitmen terhadap setiap aduan pengguna.

Beliau berkata pengguna juga memainkan peranan untuk membuat aduan dan laporan melalui platform rasmi KPDN yang disediakan bersama maklumat lengkap untuk siasatan, dan menerusi gerakan GEMPUR, KPDN juga telah mewujudkan platform yang boleh diakses melalui imbasan kod QR yang akan dilekatkan di pasar raya, premis perniagaan dan stesen minyak seluruh negara.

“Aduan kepada KPDN juga boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-848 8000, hotline yang beroperasi 24 jam – 03 8882 6088 / 6245 dan saluran aduan #HapusKartel yang dikendalikan oleh MyCC di http://www.mycc.gov.my/e-aduan,” katanya.- BERNAMA