Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menjadikan akses kepada keadilan sebagai agenda utama ASEAN dalam persiapan menjadi Pengerusi pertubuhan negara serantau itu, tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata keutamaan kepada akses keadilan boleh dilakukan dengan memperkukuhkan mekanisme Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) bagi pertikaian rentas sempadan.

Katanya, dengan memanfaatkan kekuatan setiap negara, ASEAN boleh mencapai pembangunan mampan.

“Dalam usaha ini, rantau Asia Tenggara mesti memastikan akses kepada keadilan melalui ADR kekal sebagai keutamaan.

“Apabila Malaysia mengambil alih kepimpinan Pengerusi ASEAN 2025, saya ingin mengulangi kata-kata Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bahawa ASEAN mesti mengutamakan pembangunan ekonomi kolektif dengan memperkukuh hubungan diplomatik,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Rasmi ‘ASIA ADR WEEK 2024’ di Auditorium Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Timbalan Pengerusi AIAC, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen.

Azalina turut menegaskan kepentingan perkongsian pengetahuan, pembinaan kapasiti dan sokongan institusi dalam kalangan pusat timbang tara serantau yang menjadi adalah kunci untuk meningkatkan kedudukan ASEAN di peringkat global.

“Malaysia, dalam peranannya sebagai pemimpin ASEAN, berhasrat untuk menggalakkan kerjasama serantau dan meneroka saluran penyelesaian pertikaian yang cekap bagi meningkatkan keyakinan pelabur di seluruh rantau ini,” katanya

Azalina turut mengulangi komitmen kerajaan untuk mewujudkan persekitaran yang mesra pelabur dengan mengukuhkan rangka kerja ADR yang lancar.

Beliau turut mengumumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah Forum Undang-Undang ASEAN 2025 mengenai Reformasi Timbang Tara Komersial Antarabangsa dan Mediasi di bawah platform undang-undang ASEAN. 

Katanya, forum itu melambangkan perpaduan dan kerjasama di kalangan negara-negara ASEAN dalam mempromosikan ADR, dengan pembabitan Menteri Undang-Undang ASEAN bagi memajukan penyelesaian pertikaian di seluruh rantau ini.-BH Online