Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kursi Pengajian Melayu akan ditubuhkan di sebuah universiti di Russia bagi memperkasakan pengajian Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, kini berada di St Petersburg, Russia bagi mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Russia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan Ke-3 (JCESTC 2024).

Beliau bersama Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Russia, Valery Falkov, bersetuju dengan cadangan itu.

“Hal ini akan dibincangkan lanjut di peringkat lebih tinggi sebelum dimuktamadkan.

“Ini juga bertepatan dengan kedudukan Bahasa Melayu yang menjadi satu program dan kursus ditawarkan di beberapa universiti terkemuka di Russia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Zambry berkata, pengisian pembelajaran kursus berkenaan termasuk berkaitan kesusasteraan Melayu, sejarah Melayu serta latar belakang Melayu dan Nusantara.

Pada masa sama, beliau berkata, Kursi Pengajian Melayu yang ditubuhkan itu akan membantu memartabatkan lagi Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa dengan beberapa kerjasama yang ditambah baik antara kerajaan Russia dan Malaysia.

“Saya juga mengemukakan cadangan untuk menghantar lebih banyak pensyarah dan guru bahasa kita ke Russia, dan pada masa sama menjemput pensyarah dari Russia untuk menjalani kursus di Malaysia dan mengenal lebih lanjut budaya kita,” katanya.

Sebelum ini, Kursi Pengajian Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ditubuhkan di beberapa institusi seluruh dunia seperti BFSU di China, Ohio University (Amerika Syarikat), Leiden University (Belanda), Victoria University (New Zealand) dan Hankuk University of Foreign Studies di Korea Selatan.

Zambry mengetuai delegasi Malaysia ke JCESTC 2024, yang turut disertai wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Digital. – BERNAMA