Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia kekal dengan dasar tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, sebarang keperluan mengenai pindaan dasar berkenaan akan dibuat sekiranya terdapat keperluan tertentu.

“Buat masa sekarang dasar itu kekal (tidak iktiraf dua kewarganegaraan), kita tidak mahu usik apa-apa lagi.

“Kalau nanti kita hadapi keadaan berbeza, apakah kita ke arah itu? Kita buat keputusan waktu itu,” katanya ketika mengulas sama ada kerajaan sedia menyemak balik dasar tidak mengiktiraf dua kewarganegaraan.

Beliau berkata demikian pada sesi libat urus dan ramah mesra bersama ketua pengarang media di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Pengarang Berita Kanan BH, Sariha Mohd Ali dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Sementara itu, Saifuddin berkata, sebanyak 17,400 permohonan kewarganegaraan berjaya diselesaikan setakat hari ini, sekali gus melepasi sasaran ditetapkannya. 

“Saya letak satu penanda aras bahawa tahun ini iaitu saya sasarkan keputusan permohonan kewarganegaraan adalah 17,000.

“Hari ini kita cecah 17,400, baru Oktober dan saya ada dua bulan lagi… 80 peratus daripadanya (permohonan) adalah membabitkan Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan,” katanya. 

Mengenai isu bajau laut di Sabah, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Sabah sentiasa mengambil inisiatif tertentu bagi membantu kumpulan itu.

Katanya, antara inisiatif dilaksana adalah membangunkan 100 rumah untuk memindahkan mereka dan bantuan pekerjaan dalam pelbagai bidang termasuk perladangan atau pertukangan.

“Anak mereka yang berada tanpa jagaan misalnya, ditempatkan di rumah jagaan dan Kerajaan Sabah serta badan bukan kerajaan (NGO) beri mereka pendidikan asas,” katanya. – BERNAMA