Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kerajaan Perpaduan berada di landasan tepat mencapai matlamat menjadikan Malaysia berstatus negara maju dan berpendapatan tinggi hasil keberkesanan dasar diperkenalkan pentadbiran.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keyakinan itu adalah bersandarkan laporan Bank Dunia semalam yang meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9 peratus untuk 2024, berbanding ramalan awal 4.3 peratus.

Selain keberkesanan dasar diperkenalkan kerajaan, katanya, kejayaan itu turut dipacu pengukuhan pelaburan dan perdagangan serta kestabilan politik yang diwujudkan.

“Setelah hampir dua tahun Kerajaan Perpaduan dibentuk, kita menyaksikan perkembangan yang amat positif terutama dalam aspek pertumbuhan ekonomi.

“Saya percaya matlamat kerajaan untuk Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi juga berada di landasan yang tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Wisma FELCRA, hari ini.

Semalam, Bank Dunia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2024 kepada 4.9 peratus berbanding 4.3 peratus sebelumnya.

Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi, dilaporkan berkata, unjuran yang disemak semula itu ialah 0.6 mata peratusan atau 14 peratus lebih tinggi daripada yang diunjurkan sebelum ini, mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam penggunaan, pelaburan dan aktiviti perdagangan.

Menurut Bank Dunia, Malaysia juga berupaya mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2027 jika ringgit kekal pada paras semasa sekitar RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kejayaan pentadbiran juga boleh dilihat melalui prestasi memberangsangkan nilai ringgit.

“Julai lalu, ringgit meningkat 2.5 peratus berbanding dolar AS, jauh mengatasi prestasi dolar Singapura, Baht, dan Rupiah yang hanya mencatat peningkatan purata satu peratus.

“Jumlah pelaburan yang diluluskan juga melonjak kepada RM160 bilion pada separuh pertama tahun ini, meningkat 18 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, nilai dagangan turut mencatat peningkatan sebanyak 18.6 peratus pada Ogos, tertinggi dalam tempoh 22 bulan.

Katanya, kadar inflasi turut turun kepada 1.9 peratus manakala kadar pengangguran stabil pada 3.3 peratus dengan 190,000 peluang pekerjaan dicipta pada suku kedua tahun ini.

“Pelaburan besar daripada lima firma teknologi dunia iaitu N.vidia, Google, Microsoft, Amazon dan Infineon yang mengumumkan komitmen pelaburan berjumlah AS$20.2 bilion (RM86.54 bilion) menjadi pemangkin kepada lebih banyak pelaburan dalam negara.

“Pelbagai pencapaian cemerlang yang kita boleh banggakan sebagai rakyat Malaysia. Bursa Malaysia

mencatat kenaikan, nilai dagangan melonjak, rizab Bank Negara Malaysia meningkat, penyeludupan diesel berjaya dikekang dan banyak lagi,” katanya.-BH Online