Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ISLAMABAD: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawat dari Pakistan, Shehbaz Sharif mengadakan pertemuan yang membuahkan hasil merangkumi pelbagai isu dua hala di Kediaman Rasmi Perdana Menteri Pakistan, di sini hari ini.

Anwar yang tiba di Islamabad malam semalam untuk lawatan negara tiga hari ke negara ini menyifatkan kunjungannya ke negara Asia Selatan itu sebagai “amat bermakna” secara peribadi.

“Ia lawatan sangat bermakna ke Pakistan. Kami (delegasi Malaysia dan Pakistan) membincangkan pelbagai isu berkaitan kedua-dua negara termasuk zon ekonomi, isu perdagangan dan pasaran, dan lain-lain,” katanya pada sidang media bersama Shehbaz selepas pertemuan dua hala itu.

Perdana Menteri berkata hasil daripada pertemuan itu, Malaysia secara dasarnya bersetuju mengimport 100,000 tan metrik daging halal dari Pakistan dan beras basmati.

Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa pengeksport daging halal Pakistan tidak mempunyai masalah mematuhi peraturan halal Malaysia yang ketat bagi mengekalkan kualiti produk daging halal mereka.

Mengenai isu keperluan Malaysia terhadap tenaga kerja mahir terutamanya dalam bidang teknologi maklumat, kecerdasan buatan dan semikonduktor, Anwar berharap Pakistan dapat menjadi antara negara yang membekalkan buruh mahir dalam sektor penting itu kepada Malaysia.

Malaysia, kata beliau, juga ingin melihat syarikat penerbangan negara diberikan lebih banyak hak pendaratan di Pakistan bagi memudahkan peningkatan jumlah pelancong, pelajar, perdagangan, perniagaan dan sebagainya antara kedua-dua negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menekankan pendirian tegas kerajaan Pakistan dalam mengutuk kekejaman dan genosid yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, serta kedegilan Tel Aviv yang memburukkan lagi situasi tegang di Timur Tengah sehingga mencapai tahap kritikal.

Menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara bersaudara dengan Pakistan, Shehbaz dalam ucapannya pada sidang media bersama itu berkata pencapaian negara Asia Tenggara itu dalam kemajuan dan bidang ekonomi merupakan satu contoh dan mesti dijadikan model kepada semua negara Islam.

Beliau berharap hubungan dua hala dengan Malaysia yang terjalin sejak 1957 apabila negara mencapai kemerdekaan, akan ditingkatkan ke tahap lebih tinggi.

“Kemajuan Malaysia seharusnya dicontohi oleh semua negara Islam, dari segi menarik pelaburan langsung asing (FDI), menjadi hab untuk industri semikonduktor dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Anwar dan Shehbaz turut menyaksikan majlis pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara agensi kerajaan Malaysia dengan Pakistan.

MoU pertama ditandatangani antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan (TDAP) manakala yang dikedua dimeterai antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan mengenai pembangunan sektor digital.

MoU ketiga ditandatangani antara Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan Kementerian Penerbangan Pakistan.

Kedua-dua pemimpin kemudian menyaksikan pelancaran beberapa karya terjemahan terpilih oleh penyair terkenal Pakistan Allama Muhammad Iqbal yang diterjemahkan kepada bahasa Melayu dan buku Malaysia MADANI yang diterjemahkan ke dalam bahasa Urdu.

Kuala Lumpur dan Islamabad menandatangani perjanjian Perkongsian Strategik pada 2019 dan negara Asia Selatan itu telah menjadi destinasi eksport ketiga terbesar Malaysia di Asia Selatan sejak 2016.

“Nilai perdagangan antara kedua-dua negara pada 2023 berjumlah RM6.43 bilion, dengan eksport dari Malaysia (ke Pakistan) berjumlah RM4.39 bilion manakala import Malaysia dari Pakistan ialah RM2.04 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM2.34 bilion memihak kepada Malaysia,” menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan.

Nilai perdagangan yang direkodkan antara kedua-dua negara untuk tujuh bulan pertama tahun ini ialah RM5.10 bilion.Kedua-dua negara juga telah menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Erat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) pada 2008, meliputi perdagangan barangan, pelaburan dan kerjasama teknikal.- BERNAMA