KOTA TINGGI: Sistem amaran awal bencana banjir seluruh negara bersedia diaktifkan susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang bakal melanda.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelaksanaan sistem amaran awal banjir adalah penting untuk dijadikan panduan memindahkan penduduk di kawasan terjejas lebih awal sebelum bencana berlaku, sekali gus menyukarkan kerja pemindahan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, agensi keselamatan juga sudah diarah mengenal pasti risiko banjir di kawasan pedalaman lebih awal supaya koordinasi dapat dilakukan dengan berkesan dan selamat.
“Ini terutama di kawasan pedalaman yang sukar dimasuki, jadi kita pada peringkat awal ini bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membuat koordinasi untuk sampai ke lokasi bencana di kawasan pedalaman.
“Sistem amaran awal bencana banjir daripada Jabatan Meteorologi (METMalaysia) sedia diaktifkan apabila tiba masanya, pada masa sama JBPM juga mencipta sistem amaran yang juga alat bagi mengesan jika paras sungai menghampiri paras bahaya.
“Alat khas ini tidak gunakan tenaga elektrik kerana risiko tenaga elektrik terputus ketika bencana, jadi ia menggunakan kombinasi solar dan bateri.
“Kita sudah bersiap siaga dengan sistem amaran awal, selain pergerakan pasukan penyelamat yang akan dikoordinasi bagi membantu kawasan bencana,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2024 di Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi.
Monsun Timur Laut dilaporkan dijangka bermula pada November depan dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) METMalaysia, Ambun Dindang, dilaporkan berkata hujan lebat diramal melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember depan.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mahu negeri yang kerap dilanda banjir melakukan persediaan dan menambah baik cara pengurusan risiko menjelang MTL.
Beliau berkata, persediaan awal penting bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa, kerugian dan kemusnahan harta benda kesan bencana alam itu.
“Sehubungan itu, kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah menambah baik pusat pemindahan sementara (PPS) dengan memperkenalkan inisiatif Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB).
“Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya milik Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) di sini, adalah PPKB yang pertama siap dinaik taraf dan bersedia digunakan bagi menghadapi bencana akibat MTL pada tahun ini.
“Bagi Johor, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan, Batu Pahat adalah lokasi kedua terpilih sebagai PPKB dengan pembinaannya dijangka siap November 2025.
“Selain itu, PPKB juga akan dibina sebagai perintis membabitkan lapan lagi negeri yang dikenal pasti iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak,” katanya.-BH Online