Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Industri kreatif digital terus berkembang kukuh apabila Malaysia kini menempatkan lebih daripada 300 studio kandungan digital dan mencipta lebih daripada 180 harta intelek (IP) asli dalam bidang animasi dan permainan video.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata pada 2022, industri kreatif digital menjana pendapatan sebanyak RM6.3 bilion, dengan eksport berjumlah RM850 juta bagi menyokong lebih daripada 11,000 pekerjaan.

“Pada 2023, ia berjaya menarik pelaburan sebanyak RM1.6 bilion daripada studio bertaraf tinggi seperti Xsolla dan ESL Gaming.

“Ini menekankan potensi besar sektor ini untuk menjana pekerjaan bernilai tinggi dan memberi sumbangan penting kepada ekonomi negara kita,” katanya berucap pada perasmian Festival Kandungan Digital Malaysia (MYDCF) Biz Day 2024, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil.

Gobind menambah, perkembangan itu menjadikan industri kreatif digital kini bukan hanya sekadar sektor sampingan, tetapi memainkan peranan penting dalam memacu inovasi dan memupuk pertumbuhan ekonomi di Malaysia. 

Beliau berkata, Rangka Tindakan Kreatif Digital (DICE) mencerminkan komitmen teguh kerajaan untuk memajukan sektor kreatif digital, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai Hab Pengeluar Kreatif Digital Serantau menjelang 2030.

“Sejak 2001, Malaysia secara konsisten telah menyokong dan mendukung industri ini dengan kukuh, serta sokongan ini diteruskan melalui inisiatif seperti DICE.

“Ini bukan sekadar sasaran yang bercita-cita tinggi, tetapi juga telah didokumentasikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan akan terus diperkukuhkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Komitmen sebegini memastikan pembangunan dan inovasi yang berterusan dalam industri yang berkembang pesat dan menarik ini,” katanya.

MYDCF mempertemukan pemain utama dalam animasi, permainan digital, XR, metaverse, dan teknologi kreatif. 

Sepanjang tiga hari penganjuran festival itu, ia menampilkan bengkel yang bermaklumat, mesyuarat perniagaan, dan kerjasama antarabangsa, meletakkan Malaysia sebagai hab kreatif digital serantau.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, Malaysia berada dalam kedudukan unik untuk memanfaatkan kekayaan budayanya melalui kandungan digital. 

Katanya, dengan sejarah yang kaya, kepelbagaian budaya dan warisan, Malaysia menawarkan banyak inspirasi untuk teknologi kreatif. 

“Dengan menggabungkan kekuatan budaya ini bersama teknologi maju, kita dapat menghasilkan harta intelek berkualiti tinggi yang menarik bagi penonton global, sama ada melalui animasi, permainan, atau komik digital.

“MDEC, dengan kerjasama Universiti Asia Pasifik (APU) dan TalentCorp Malaysia juga akan melancarkan Laporan Ekonomi Bakat Industri Permainan Asia Tenggara 2024, dengan sokongan daripada persatuan permainan di seluruh Vietnam, Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, dan Filipina.

“Melalui kerjasama ini, kita bukan sahaja akan meningkatkan ekosistem kandungan digital, malah turut mengukuhkan kedudukan sebagai pemimpin pemikiran serantau dalam sektor yang dinamik dan bersemangat ini,” katanya.-BH Online