Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF) dilancarkan hari ini, sekali gus memperlihatkan komitmen Malaysia untuk menyepadukan kemampanan ke dalam teras pembangunan ekonomi, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, Malaysia kini menyertai lebih 20 bidang kuasa, secara kolektif mewakili 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, yang telah memutuskan atau sedang mengambil langkah untuk menggunakan piawaian berkenaan.

Katanya, NSRF yang dibangunkan oleh Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR) dibentuk tahun lalu dengan sokongan Kementerian Kewangan.

Jelasnya, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan terdiri daripada Lembaga Pemantauan Audit, Bank Negara Malaysia (BNM), Bursa Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Yayasan Pelaporan Kewangan, membangunkan rangka kerja itu selepas pertimbangan teliti pelbagai faktor, termasuk kesediaan syarikat dan ekosistem serta sokongan yang diperlukan untuk pelaksanaan.

“Rangka kerja ini lebih daripada sekadar kemajuan kawal selia. Ia menangani keperluan maklumat pelabur dan pembiaya untuk membantu dengan keputusan peruntukan modal, dan lebih penting lagi menggalakkan kemakmuran ekonomi yang sejajar dengan penjagaan alam sekitar dan tanggungjawab sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran NSRF di sini, hari ini. 

Hadir sama, Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, NSRF juga mendapat sokongan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), yang mengutamakan pelaburan yang menyumbang kepada matlamat kemampanan dan menangani isu kritikal seperti tindakan iklim, ketidaksamaan sosial dan keterangkuman ekonomi. 

Beliau berkata, memandangkan keperluan pembiayaan yang besar, pasaran modal di Malaysia mesti bersedia untuk memudahkan penjanaan dana dan pelaburan untuk menyokong keutamaan kerajaan dalam mencapai matlamat kemampanan dan iklimnya. 

Justeru, katanya, rangka kerja pelaporan yang boleh dipercayai diperlukan untuk memastikan terdapat data dan maklumat yang boleh dipercayai untuk memudahkan pembiayaan.

“Bagi mencapai matlamat peralihan tenaga, kita memerlukan RM1.3 trilion antara sekarang dan 2050. Ia termasuk pelaburan dalam tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan mobiliti hijau, seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). 

“Lebih banyak perlu dilakukan untuk memastikan pelaburan mencapai tempat yang betul, dengan kesan maksimum terhadap kemampanan. 

“Di samping itu, dengan peningkatan suhu, kita juga perlu mempertimbangkan pelaburan dalam responsif, penyesuaian dan daya tahan,” katanya.

Dalam pada itu, SC berkata, penerbit tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia dan ACE, serta syarikat besar tidak tersenarai (NLCos) dengan pendapatan tahunan sebanyak RM2 bilion dan ke atas perlu mematuhi keperluan pelaporan baharu dalam pendekatan berperingkat.

Ia berkata, penerbit tersenarai besar di Pasaran Utama dengan permodalan pasaran sebanyak RM2 bilion dan ke atas akan mula menggunakan Piawaian Lembaga Piawaian Kemampanan Antarabangsa (ISSB) pada 2025 (Kumpulan 1).

Katanya, ia kemudiannya dilanjutkan kepada penerbit tersenarai di Pasaran Utama lain pada 2026 (Kumpulan 2), diikuti dengan penerbit tersenarai di Pasaran ACE serta NLCo besar pada 2027 (Kumpulan 3).

Berkenaan pendedahan iklim, SC berkata, cadangan Pasukan Petugas mengenai Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD) yang diperbadankan dalam Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia termasuk sepenuhnya dalam piawaian ISSB untuk pendedahan iklim.

Katanya, piawaian ISSB dibina di atas matlamat TCFD yang sama iaitu tadbir urus, strategi, pengurusan risiko serta metrik dan sasaran. 

“Oleh itu, penerbit tersenarai mempunyai tahap kebiasaan dengan keperluan pendedahan di bawah piawaian itu.

“Tertakluk kepada perundingan dan pembabitan selanjutnya, ACSR menyasarkan untuk memberikan jaminan yang munasabah bagi maklumat kemampanan bermula pada 2027,” katanya.

SC berkata, bagi menyokong pelaksanaan NSRF, inisiatif PACE (Dasar, Andaian, Kalkulator dan Pendidikan) ACSR akan menawarkan program pembinaan kapasiti, sumber dan ‘toolkit’ untuk membantu penyedia, termasuk mereka yang memberi tumpuan kepada menangani keperluan syarikat sederhana dan kecil.

Selepas pelancaran NSRF, Bursa Malaysia juga mengeluarkan perundingan awam mengenai cadangan pindaan untuk menyelaraskan Keperluan Penyenaraian.-BH Online