Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Keputusan berkaitan doktrin fahaman GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) bakal diketahui selepas mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja yang dijadual bersidang bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sebelum ia diperkenankan, Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Nooh Gadut akan berbincang dengan semua mufti negeri di Terengganu selama tiga hari bermula esok.

Katanya, keputusan perbincangan itu kemudian akan dibentangkan kepada Pengerusi MKI, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan timbalannya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dibawa ke Persidangan Majlis Raja-Raja. 

“Satu kertas khas berkaitan GISB sudah disediakan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) untuk dipertimbangkan esok dalam mesyuarat jawatankuasa Muzakarah MKI.

“Dalam bulan Oktober ini, kita akan dapat keputusan perkenan kerana kita sudah ambil tindakan cepat untuk untuk perbincangan Muzakarah MKI esok,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pra Pelancaran Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke 64 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Semalam Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilaporkan berkata bahan rampasan dalam Op Global Fasa 4 akan dijadikan asas bukti sokongan terhadap pegangan akidah pengikut kumpulan GISBH.

Susulan itu, keputusan Muzakarah MKI mengenai status doktrin diperjuangkan GISBH akan menjadi panduan kepada pihak berkuasa agama negeri dalam mengeluarkan fatwa bagi membolehkan proses pendakwaan terhadap ajaran kumpulan ini dibawa ke Mahkamah Syariah.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata MHTQA akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia di sini, pada 5 hingga 12 Oktober ini yang membabitkan seramai 92 peserta daripada 71 negara.

Katanya, seramai 53 peserta termasuk 39 lelaki daripada 41 negara menyertai tilawah manakala 39 lagi hafazan membabitkan 39 peserta termasuk 26 lelaki daripada 30 negara. 

Menurutnya, Malaysia menghantar empat peserta iaitu Mohamad Husaini Mahmur dari Negeri Sembilan dan Nor Hidayah Abd Rahman dari Terengganu.

“Bagi hafazan pula, negara akan diwakili Muhammad Rifae’i Mat Zuki (Kedah) dan Putri Aminah Mohd Hanif (Kelantan),” katanya.

Mohd Na’im berkata majlis perasmian MTHQA ke-64 itu nanti akan disempurnakan oleh Perdana Menteri pada 5 Oktober.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah telah berkenan untuk berangkat dan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada johan tilawah dan johan hafazan al-Quran pada 12 Oktober.-BH Online