Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLUANG: Satu program khas akan dilaksana bagi membantu pelajar yang keciciran atau tidak berminat untuk menyambung pelajaran ke tingkatan empat memasuki bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya program itu dapat dilaksanakan akhir tahun ini.

“Saya telah bincang agar satu ujian khas tanpa bertulis (diberikan) kepada pelajar (terbabit) untuk masuk ke Kolej TVET untuk memberi peluang kepada mereka yang keciciran yang mungkin tidak minat untuk menyambung pelajaran. 

“Jangan ingat tanpa SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tidak ada hari esok, tidak ada masa depan. Melalui ekosistem pendidikan TVET, walaupun tanpa SPM tetapi melalui kursus TVET, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) 1 dan 2 setaraf SPM manakala SKM 3, 4 dan 5 sama dengan diploma. 

“Kita mesti menyediakan ekosistem kepada pelajar ini, negara memerlukan pekerja dan syarikat yang melabur dalam negara juga perlukan guna tenaga dalam kalangan anak muda,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Kaum India Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini malam ini. – BERNAMA