Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tokoh pemikir Islam, Datuk Prof Emeritus Dr Osman Bakar dilantik sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai Isnin ini sehingga 22 September 2026.

Kementerian Pendidikan Tinggi dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penyandang Kursi Al-Ghazali, Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) UIAM itu adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Matematik dari University of London, United Kingdom.

Selain itu, beliau juga memiliki Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Falsafah Islam dari University of Temple, Amerika Syarikat (AS).

“Beliau seorang tokoh pemikir Islam yang tersohor di tanah air dan memiliki reputasi kepimpinan dan kesarjanaan dalam bidang falsafah dan ketamadunan Islam yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sehingga dinamakan sebagai 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia pada 2009.

“Kementerian yakin dengan pelantikan ini, beliau akan dapat mengangkat dan meningkatkan kedudukan UIAM sebagai universiti tersohor dalam peradaban Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Kementerian turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada bekas Rektor UIAM, Tan Sri Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak atas jasa dan bakti beliau sepanjang menerajui UIAM sebelum ini.

Rektor UIAM kosong sejak 31 Ogos lalu.

Persatuan Alumni UIAM dalam kenyataan sebelum ini meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir segera mengumumkan Rektor baharu UIAM.

Gesaan itu dibuat bagi menaikkan semula reputasi dan prestasi UIAM yang merosot dalam World Ranking, selain kemasukan jumlah pelajar antarabangsa yang turut semakin menurun setiap tahun.