Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING, 16 September- Dua lagi depo simpanan keperluan mangsa bencana akan dibina di Sarawak selain yang sedia ada di Muara Tuang, Samarahan.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, setiap depo tersebut perlu mempunyai stok bantuan untuk 30,000 mangsa bencana.

Ini termasuk khemah, tilam, selimut, pek kebersihan diri, lampin, kerusi roda dan makanan kering berjumlah 432 tan.

“Insya-Allah Miri dan Sibu kita tengah mengenal pasti lokasi bersesuaian. Kita bimbang kalau Sibu selalu banjir jadi kita mencari tempat, sudah dikenal pasti tapi bagi kami orang Sarawak kita tahu saya cakap itu tidak bersesuaian kerana tempat itu berlaku banjir jadi kita cari tempat lain. Begitu juga dengan Miri, kita merasakan tempat tu okay,”katanya.

Sebuah depo dianggarkan bernilai RM61 juta untuk pembinaan namun tertakluk kepada pelan akhir yang diluluskan kelak.

Pada masa yang sama akan turut membina beberapa mini depo lagi yang dikatakan perlu dalam menangani perubahan iklim dan cuaca luar jangka yang dihadapi seluruh dunia sekarang.

Datuk Seri Nancy ditemui media selepas mengadakan lawatan ke depo simpanan keperluan mangsa bencana di Muara Tuang Samarahan.

Beliau kemudian menyempurnakan pelepasan konvoi Kembara Kasih KPWKM 2024 yang akan merentasi seluruh Sarawak bermula 14 hingga 21 September di Lawas.-Berita RTM