KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuhkan kerjasama dengan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) bagi mengkaji semula perundangan berkaitan e-dagang.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata hasrat untuk mendapatkan perkhidmatan badan dunia yang memiliki pengalaman dan kepakaran itu telah dikemukakan pada pertemuan dengan Setiausaha Agung UNCTAD, Rebeca Grynspan, di Geneva, Switzerland, hari ini.
Pertemuan berkenaan turut dihadiri Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Nadzirah Osman.nullnull
“Pada pertemuan itu, UNCTAD telah memberikan persetujuan secara prinsip.
“UNCTAD juga menyatakan usaha ini sejajar fokus badan dunia itu untuk membantu negara membangun mendapat manfaat melalui pengintegrasian kepada sistem perdagangan antarabangsa dan meningkatkan akses kepada teknologi digital, sekali gus melindungi pengguna daripada eksploitasi.
“KPDN berharap kerjasama dengan UNCTAD ini akan dapat membantu usaha kementerian untuk melaksanakan kajian perundangan baharu e-dagang dengan lebih berkesan melalui perkongsian kepakaran dan amalan terbaik pada peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
UNCTAD adalah badan tetap antara kerajaan yang ditubuhkan bawah PBB, dan bertanggungjawab menggalakkan perdagangan serta pembangunan di negara-negara membangun.
Ia memainkan peranan menyokong negara membangun melalui perkongsian kepakaran, bantuan teknikal, kajian analisis dan pembangunan kapasiti.
“Sebagai sebuah negara ahli, Malaysia telah menjalinkan kerjasama dan memanfaatkan perkhidmatan serta bantuan ditawarkan UNCTAD sejak sekian lama.
“Pada peringkat KPDN, jalinan kerjasama dan pembabitan sedia ada dengan UNCTAD adalah melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam aspek penggubalan dan penguatkuasaan dasar serta perundangan berkaitan persaingan,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN sedang melaksanakan kajian semula perundangan e-dagang bagi mengemas kini perundangan sedia ada, selaras perkembangan pesat industri e-dagang.
Perundangan terbabit ialah Akta Perdagangan Elektronik 2006, Akta Perlindungan Pengguna 1999, dan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012.
Beliau berkata, Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang yang dilaksanakan menerusi peruntukan bawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12 (RP4 RMK-12) telah bermula April lalu dan dijangka selesai pada Mac 2025.
Selain itu, beliau berkata, maklumat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati nilai pendapatan industri e-dagang di Malaysia pada 2022 meningkat enam peratus kepada RM1.09 trilion berbanding RM1.03 trilion pada 2021.
Justeru, katanya, KPDN komited memastikan pembangunan ekonomi domestik yang seimbang, termasuk melindungi kepentingan pengguna dan pada masa sama memastikan industri e-dagang dapat terus berkembang pesat. – BERNAMA