Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Serdang: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu meminta semua pihak usah menggembar-gemburkan mengenai konflik di Laut China Selatan susulan kehadiran kapal Pengawal Pantai China (CCG), yang kononnya menimbulkan kacau ganggu terhadap nelayan tempatan. 

Jika ada pertelingkahan yang timbul di perairan itu, beliau berkata lebih elok ia diselesaikan melalui saluran diplomatik.

Setakat ini, beliau berkata kementeriannya tidak menerima sebarang aduan berbangkit yang menimpa nelayan tempatan susulan kehadiran kapal CCG di perairan itu. 

“(Kehadiran kapal CCG) tentera (wilayah perairan negara) … Masalah itu (hanya) gembar-gembur berita tapi suasana aman. Insya-Allah semua (isu) kita selesaikan melalui saluran diplomatik. 

“Insya-Allah apa juga pertelingkahan, kita selesai melalui saluran diplomatik. Kerajaan kita mampu untuk selesaikan. 

“Tidak ada masalah dengan nelayan. Setakat ini saya belum ada terima aduan gangguan terhadap nelayan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau reruai Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini. 

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menasihatkan nelayan dan pemancing di Laut China Selatan untuk tidak bimbang dengan kehadiran kapal CCFG, khususnya di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali. 

Terdahulu, media melaporkan terdapat kegusaran dalam kalangan nelayan di perairan berkenaan mengenai kehadiran kapal CCG di sekitar kawasan berkenaan, yang menyukarkan nelayan dan pemancing menjalankan aktiviti mereka. 


Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri, Sarawak dan dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia. 

Kementerian Pertahanan sebelum ini berkata Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa memantau enam kawasan maritim Malaysia merangkumi Selat Melaka, Laut Cina Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu untuk mengesan kapal mencurigakan dan kapal perang negara lain.

Mengenai perkembangan MAHA 2024 yang hari ini masuk hari kedua, Mohamad berkata sebanyak 12 Memorandum Persefahaman (MoU) berjaya dimeterai, membabitkan jumlah kira-kira RM500 juta. 

Menerusi padanan perniagaan itu, beliau berkata yang besar membabitkan pelaburan dalam sektor penanaman durian. 

“Ini bermakna durian adalah satu perniagaan masa depan yang cukup tinggi nilainya, yang permintaan di luar negara khas di China sebelum lagi dapat kita penuhi sepenuhnya, kerana rakyat mereka amat ingin untuk makan durian dari Malaysia, ” katanya- Harian Metro Online