SEOUL: Malaysia sedia bekerjasama dengan mana-mana negara yang berhasrat untuk berkongsi teknologi serta membantu dalam membangunkan industri pertahanan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu selaras fokus kerajaan pada masa ini iaitu untuk membangun dan memantapkan industri pertahanan negara.
Beliau berkata, dalam merealisasikan fokus berkenaan, tidak semestinya Malaysia perlu menjadi pengeluar aset pertahanan seperti negara membangun lain, namun lebih memfokuskan elemen menawarkan pelbagai medium perkhidmatan dalam industri pertahanan.
“Untuk maju dalam industri pertahanan tidak semestinya kita perlu menjadi pengeluar kepada sesuatu aset yang lengkap, sebaliknya kita (Malaysia) juga sebenarnya boleh menjadi pengeluar komponen, penyeliaan perkhidmatan, penyelenggaraan bagi semua peralatan dalam aset ketenteraan sekali gus menjadikan kita kuat dari segi memberi perkhidmatan.
“Dalam contoh lain, kita boleh juga menawarkan perkhidmatan menyelenggara dan membaiki apa juga jenis pesawat dalam dunia dan inilah khidmat yang kita berikan.
“Jadi, apabila bercakap tentang membangunkan industri pertahanan tempatan, bukan bermaksud Malaysia akan mengeluarkan helikopter atau kapal terbang… itu sememangnya mengambil masa yang panjang,” katanya selepas persidangan Dialog Pertahanan Seoul (SDD) 2024, di Seoul, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, negara yang maju dalam industri pertahanan terutama bidang aeroangkasa turut mengambil masa panjang sebelum mereka mula mengeluarkan aset pertahanan sendiri seperti pesawat tempur dalam industri pertahanan mereka.
“Sebagai contoh Tukiye sendiri mengambil masa 50 tahun untuk menjadi pengeluar aset, manakala Korea Selatan pula mengambil masa lebih 20 hingga 30 tahun sebelum mereka menjadi pengeluar pelbagai aset pertahanan sama ada darat, laut dan udara pada hari ini.
“Jadi, fokus kerajaan pada masa ini adalah lebih memberi tumpuan kepada pelaksanaan penyelenggaraan, pembaikan dan pengubahsuaian (MRO), pengeluar komponen serta menumpukan bidang teknologi dan aset-aset pertahanan,” katanya.
Beliau turut berkesempatan membangkitkan hasrat Malaysia kepada kerajaan Korea Selatan melalui Menteri Perolehan (Aset-Aset Pertahanan), Seok Jong-gun, dalam mesyuarat bilateral membabitkan dua negara pagi tadi.
“Fokus utama ini telah kita nyatakan kepada Kerajaan Korea Selatan dan mereka bersedia untuk membantu bangunkan industri pertahanan negara.
“Kita meminta mereka berkongsi pengalaman dalam membangunkan industri pertahanan serta berkongsi usaha-usaha dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam bidang pertahanan mereka.
“Di Korea Selatan, AI banyak digunakan untuk mengawal dan mengawasi kawasan sempadan dan pergerakan-pergerakan mencurigakan yang datang dari negara-negara yang tidak mempunyai hubungan baik dengan mereka. AI akan memaklumkan kepada penguatkuasaan di Korea Selatan sama ada ancaman itu benar atau tidak,” katanya.
Sementara itu, dalam satu lagi menyuarat bilateral berasingan bersama Menteri Pertahanan Korea Selatan Shin Won-sik, negara itu meminta sokongan berterusan dari Malaysia terhadap pendirian-pendirian yang diambil mereka.
Katanya, Korea Selatan memaklumkan usaha-usaha tentera bergerak secara aktif untuk menggunakan teknologi AI dalam segala peranan dan tanggungjawab demi keselamatan dan kedaulatan negara mereka khususnya benua Indo Pasifik.-BH Online