Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyelesaikan ‘perang dingin’ secara profesional demi menjaga keharmonian bersama.

Beliau berkata pihaknya percaya perkara dibangkitkan Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin baru-baru ini sebenarnya bukan satu isu.

“Bagi saya keharmonian (antara agensi) sangat penting untuk kemajuan atlet sebab mereka ada tanggungjawab bersama… sebab itu kita ada semua wakil dalam Lembaga MSN, jika ada isu kita bincang bersama.

“Sebenarnya tiada isu, cuma bila dua atlet yang sepatutnya dapat pingat emas tapi dapat perak perkara itu tercetus. Saya percaya atlet terbabit sendiri mahukannya (emas) tapi dapat sebaliknya,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Mini Kejohanan Para Olahraga Program Rimau Emas, di sini hari ini.

Beliau juga percaya perkara itu sudah dijawab sendiri Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub yang tidak mahu menuding jari kepada sesiapa selepas sasaran tidak tercapai pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 dari 28 Ogos hingga 8 September lalu.

“Kalau ada salah faham mereka perlu duduk bersama dan selesaikan. Saya ada bersama di sana (Paris) tetapi Datuk Seri Megat tidak membangkitkan isu, jadi saya rasa tidak wajar,” katanya.

Bagaimanapun Hannah berkata, isu yang sedang berlaku itu sebaiknya diselesaikan dengan duduk semeja tanpa membabitkan atlet para negara.

“Kami sudah duduk bersama Datuk R Subramaniam (ketua kontinjen Paralimpik Paris) yang juga dalam Lembaga MSN, jadi saya percaya itu cara yang betul (perbincangan) untuk menyelesaikan masalah, bukan melalui media,” katanya.

Sebelum ini Megat Shahriman mendakwa MSN campur tangan dalam pengurusan kontinjen negara pada Sukan Paralimpik Paris 2024 sekali gus menjadi antara faktor kegagalan Malaysia mencapai sasaran empat pingat emas.

Megat Shahriman juga mahu mengadakan perbincangan bersama MSN bagi mencadangkan agar hanya satu pihak mengetuai kontinjen negara dalam mana-mana temasya sukan akan datang. – BERNAMA