Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Petaling Jaya: Skuasy diletakkan harapan tinggi untuk menamatkan penantian Malaysia meraih pingat dalam kategori wanita pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Ini kerana berdasarkan rekod, kali terakhir atlet wanita negara meraih pingat di temasya terbesar dunia itu adalah menerusi gandingan penerjun Cheong Jun Hoong-Datuk Pandelela Rinong yang meraih perak dalam acara 10 meter (m) platform seirama manakala Goh Liu Ying bersama pasangannya, Chan Peng Soon turut membawa pulang perak bagi saingan badminton beregu campuran pada edisi 2016 di Rio de Janeiro.

Selepas temasya itu, atlet wanita negara seolah-olah buntu untuk menaiki podium di temasya Tokyo 2020 atau Paris 2024 yang berakhir bulan lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh optimis pemain skuasy wanita negara mempunyai potensi besar bagi merealisasikan impian berkenaan.

“Apabila saya melihat senarai pemenang pingat di Olimpik Paris dan Paralimpik Paris, saya tidak nampak nama wanita dalam senarai itu.

“Jadi, pada LA2028, kita bukan sahaja menjadi pemenang pingat emas, saya mahu melihat atlet wanita kita berada di podium.

“Skuasy di Malaysia agak luar biasa apabila terdapat lebih ramai atlet wanita berbanding lelaki yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia.

“Kita sudah meminta legenda skuasy, Datuk Nicol David untuk membantu merealisasikan impian itu. Dia dalam lembaga pengarah Institut Sukan Negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Piala Skuasy ACE Malaysia 2024 di sini, sebentar tadi.

Hannah berkata, adalah penting untuk Malaysia melakukan persiapan awal bagi menghadapi LA2028.

“Sebaik kita tahu skuasy disenaraikan untuk LA2028 tahun lalu, kita segera melakukan persiapan. 

“Ia penting sekiranya kita mahu memenangi pingat dengan China sudah mempersiapkan pemain mereka,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penganjuran Piala Skuasy ACE Malaysia, Hannah berkata kejohanan itu sangat penting dalam pembangunan sukan berkenaan di negara ini.

Kejohanan Jelajah Dunia PSA bertaraf gangsa itu akan berlangsung dari 12 hingga 17 November depan di pusat beli-belah The Curve.-Harian Metro Online