Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLUANG: Kerajaan meluluskan lebih RM1.126 bilion bagi melaksanakan 77 projek menaik taraf sekolah daif di seluruh negara sejak tahun lalu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata tahun lalu 46 projek dilaksanakan membabitkan peruntukan RM541.8 juta, manakala 31 projek lagi dilaksanakan tahun ini dengan kos RM548.7 juta.

“Projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah-sekolah seluruh negara terbahagi kepada beberapa fasa iaitu untuk fasa reka bentuk, pembinaan, selain fasa siap dan perolehan. 

“Pembinaan kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu dan SK Tunku Mahmood 1 adalah salah satu contoh projek pembinaan semula bangunan daif di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR). 

“Kos digunakan untuk membangunkan sebuah kantin, bilik rehat guru dan laluan pejalan kaki di SK Kampung Melayu berjumlah RM2.28 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kerja pembinaan semula bangunan daif di SK Kampung Melayu di sini hari ini. 

Ahmad Maslan berkata, projek bermula 18 Julai baru-baru ini dijangka siap sepenuhnya November 2025 dan perjalanan kerja pembinaan sudah mencapai tiga peratus iaitu awal enam hari daripada waktu ditetapkan. 

“Apabila siap nanti, keluasan kantin ini akan mampu menampung kira-kira 400 murid iaitu bersamaan satu sesi persekolahan dengan jumlah keseluruhan pelajar seramai 873 orang. 

“Turut dilakukan dalam kerja pembinaan semula ini adalah kerja elektrikal dan mekanikal seperti pemasangan paip air sejuk dalaman, paip kumbahan, pengudaraan dan sistem pemadaman kebakaran,” katanya.-BH Online