Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLUANG: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melantik syarikat swasta untuk melaksanakan operasi salvaj bagi menyelamatkan Kapal Diraja (KD) Pendekar yang tenggelam di dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusup, Kota Tinggi, selepas mengalami kebocoran, Ahad lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ketika ini kerja awalan sudah dilakukan termasuk mengenal pasti serta memastikan peralatan dalam kapal itu berada dalam keadaan baik serta tidak hilang.

“Jadi itulah yang dilakukan ketika ini (kerja awalan)… usaha awal adalah hendak memastikan dan mungkin menyiasat semua peralatan atau pun maklumat supaya semuanya dalam keadaan baik.

“Kita nak pastikan apa juga barangan, maklumat penting yang ada dalam KD Pendekar selamat dan tidak hilang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Program e-Perkasa SPM, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta sumbangan komputer riba kepada anak anggota tentera di Kem Mahkota Kluang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjangkakan laporan lengkap mengenai kebocoran KD Pendekar mengambil masa kira-kira sebulan.

Sehingga kini, katanya MINDEF belum menerima sebarang laporan berhubung punca sebenar kejadian membabitkan KD Pendekar.

Pada 25 Ogos lalu, TLDM mengesahkan KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran ketika sedang melaksanakan penugasan operasi.

Kebocoran dikesan pada 12 tengah hari dipercayai selepas kapal terlanggar objek bawah air.

Beberapa hari selepas itu, seorang Penyelam Ranjau TLDM dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA), Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa, meninggal dunia ketika melakukan selaman dalam operasi salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Pengelih.

Lembaga Siasatan Khas TDLM ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.-BH Online