Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Timor-Leste merekodkan beberapa pencapaian penting khususnya dalam memperkukuh sektor pendidikan tinggi. 

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, antaranya termasuk mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan tinggi melalui Universiti Teknikal MARA (UniKL) dan Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains, dan Kebudayaan Timor-Leste.

Melalui kerjasama ini, katanya UniKL akan menawarkan 50 biasiswa kepada pelajar Timor-Leste, sekali gus membolehkan mereka melanjutkan pelajaran di Malaysia.

Zahid juga berkata, UniKL akan menjadi penyedia teknologi utama bagi politeknik baharu yang akan ditubuhkan di Timor-Leste dengan fokus diberikan kepada bidang Pemasaran Digital, Teknologi Makanan dan Pengurusan Pelancongan. 

“Pusat Peningkatan dan Pendidikan Berterusan (ACE) UniKL juga akan menawarkan kursus pendek hibrid dalam bidang kepimpinan, kewangan, pengurusan dan keusahawanan untuk pegawai kerajaan.

“Selain itu, Timor-Leste akan menghantar pelajar ijazah sarjana muda yang ditaja kerajaan ke UniKL bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia (Proses dan Teknologi Makanan), Pelancongan dan Pentadbiran Perniagaan melalui pembelajaran jarak jauh terbuka,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Dalam lawatan itu, Zahid berpeluang bertemu Presiden, José Ramos-Horta dan Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmão. 

Beliau juga mengadakan pertemuan dengan dengan beberapa menteri Kabinet lain termasuk Timbalan Perdana Menteri I yang juga Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar, Francisco Kalbuadi Lay serta Timbalan Perdana Menteri II serta Menteri Penyelaras Hal Ehwal Sosial, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Komuniti, Mariano Assanami Sabino.

Tambah Zahid lagi, selain bidang pendidikan, Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai bersama Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Dana Pembangunan Modal Insan Timor-Leste (FDCH).

“Perjanjian ini akan memudahkan peningkatan jumlah pelajar Timor-Leste yang melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia serta mengukuhkan kerjasama universiti antara kedua-dua negara. 

“FDCH yang membiayai biasiswa untuk pendidikan dan pembangunan modal insan juga akan menyokong 31 pelajar Timor-Leste dalam melanjutkan pengajian sarjana dan pasca siswazah di Malaysia bermula November ini,” katanya. 

Turut ditandatangani MoU antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan National University of Timor-Leste (UNTL) bertujuan memperkukuh kerjasama dengan mempromosikan serta memudahkan aktiviti akademik, penyelidikan dan latihan.-BH Online