Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan memohon peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2025 yang dijadual dibentangkan pada 18 Oktober ini.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ia bagi membolehkan pelaksanaan tanaman semula pokok kelapa sawit bagi menggantikan pokok yang tua.

“Kementerian ingin minta penambahan peruntukan untuk tanaman semula pokok kelapa sawit yang sudah tua,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan sama ada KPK bercadang memberi insentif khas untuk pekebun kecil menerusi Belanjawan 2025.

Mengenai isu pengeluaran getah dan koko negara yang dilapor semakin menyusut sehingga industri terpaksa mengimport bekalan komoditi itu, Johari berkata, pihaknya bercadang membabitkan koperasi selain memujuk pekebun kecil.

Katanya, tanah milik pekebun kecil yang terbiar sejak sekian lama akan diusahakan oleh koperasi untuk memperoleh hasil lebih banyak. 

Dengan strategi itu, beliau menyasarkan tanaman seperti getah dan koko ‘hidup semula’ apabila dapat menghasilkan bekalan cukup untuk menampung keperluan industri.

“Kita nak pujuk semua pekebun kecil macam pemilik ladang getah. Mereka tak nak tapi tanah itu mereka punya, jadi kita nak suruh pakat-pakat pujuk melalui koperasi.

“Langkah ini supaya mereka letakkan tanah untuk diusahakan oleh koperasi dan mereka akan mendapat hasil walaupun mereka (pekebun kecil) tak usahakan. 

“Pertamanya kena bersihkan ladang itu sebab sudah empat, lima tahun tak diusahakan dan penuh semak samun.

“Kedua, mungkin tanaman semula itu juga salah satu inisiatif yang kami buat dan ini memerlukan modal, ” katanya.

Dalam pada itu, Johari menasihati pekebun kecil yang belum mendaftar Bantuan Subsidi MADANI (Budi MADANI) berbuat demikian bagi mengelak tercicir daripada memperoleh bantuan kerajaan bernilai RM2,400.

Setakat ini, katanya, lebih 18,000 daripada 210,000 pekebun kecil sudah mendaftar bagi mendapat bantuan itu. 

“Ramai yang tak dapat lagi sebab mereka tak daftar lagi, jadi kita gunakan semua agensi dalam kementerian untuk memastikan pekebun kecil mendaftar, ” katanya-BH Online