Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia menyasarkan untuk mempelbagaikan usaha diplomasi ekonominya menerusi penyertaan dalam platform antara kerajaan seperti BRICS selain meningkatkan kerjasama melalui inisiatif bersama dan perkongsian strategik.

Malaysia telah mengemukakan permohonan untuk menyertai BRICS, blok kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang ditubuhkan pada 2009 dan merangkumi Brazil, Russia, India serta China dan disusuli penyertaan Afrika Selatan pada 2010.

Pada Januari 2024, negara-negara seperti Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyertainya sebagai anggota baharu.

“Peranan India yang berbeza serta berpengaruh dalam BRICS adalah penting ketika kita menyedari bahawa hubungan dua hala yang kukuh akan meningkatkan lagi nilai signifikan terhadap dinamik perkumpulan itu,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk ‘Towards a Rising Global South: Leveraging Malaysia-India Ties’ di Sapru House, Majlis Hal Ehwal Dunia India (ICWA) di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berkongsi keyakinan Putrajaya bahawa penyertaan dalam BRICS tidak hanya mengukuhkan hubungan ekonomi dengan India, tetapi turut membuka lebih banyak ruang kerjasama luas yang merentasi spektrum industri dan dasar.

Sambil menyifatkan perkumpulan itu sebagai minilateralisme, beliau berkata berbeza dengan segelintir pandangan yang mempertikaikan pengaturan sedemikian, Malaysia sebaliknya percaya mekanisme sedemikian penting dalam usaha penyampaian manfaat awam demi faedah rakyat serta meningkatkan taraf hidup.

“Bersandarkan kepentingan itu, Malaysia tidak akan mengelak daripada melaksanakan usaha dan menyertai pengaturan yang memberi manfaat. Langkah Malaysia mengemukakan permohonan untuk menyertai BRICS adalah satu contoh yang tepat,” kata beliau.

Secara kumulatif, keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara-negara anggota BRICS berjumlah US$26.6 trilion iaitu 26.2 peratus daripada KDNK dunia dan hampir menyamai kekuatan ekonomi negara-negara kumpulan G7.

Negara anggota BRICS juga mempunyai bilangan populasi besar sebanyak 3.21 bilion yang dijangka terus meningkat menerusi penyertaan Mesir, Ethiopia, Iran dan UAE yang berpenduduk 333 juta orang, sekali gus membentuk pasaran mega merangkumi kira-kira 3.54 bilion orang atau hampir 45 peratus penduduk dunia.

Anwar tiba di New Delhi pada Isnin bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari untuk mengukuhkan hubungan Malaysia-India yang terjalin selama 67 tahun selain mewujudkan agenda kerjasama pelbagai sektor di masa depan.

Dalam lawatan itu, beliau diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Ini adalah lawatan pertama Anwar ke India sejak menjadi perdana menteri pada November 2022.

Perdagangan dua hala Malaysia dan India pada 2023 bernilai AS$16.5 bilion, didorong oleh kadar pertumbuhan tahunan kompaun 8.5 peratus sejak dua dekad lepas. (AS$1 = RM4.38)

Anwar juga menyifatkan trajektori pertumbuhan perdagangan bukan sekadar statistik tetapi turut membuktikan hubungan ekonomi yang kian mendalam dan dimudah cara oleh rangka kerja seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India.– BERNAMA