Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BERA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa memastikan penduduk luar bandar termasuk Orang Asli di Semenanjung serta Orang Asal di Sarawak dan Sabah tidak terputus bekalan barang keperluan asas.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, berkata antara langkah dilaksanakan termasuk mengadakan Jualan Rahmah di perkampungan masyarakat itu yang menawarkan pelbagai barang dengan harga rendah berbanding pasaran.

“Saya dapat tahu, sambutan diterima sangat baik, barang yang dijual juga lebih rendah 30 hingga 40 peratus daripada harga pasaran,” katanya berucap merasmikan Sambutan Hari Orang Asal Sedunia (SHOAS) 2024 di Kampung Pos Iskandar di sini hari ini.

Pada sambutan itu, pelbagai acara menarik diadakan seperti pertandingan sukan termasuk menyumpit, persembahan kebudayaan Orang Asli dan Borneo, Jualan Rahmah, pameran agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sambutan antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran dan melindungi hak penduduk Orang Asli serta mengiktiraf pencapaian dan sumbangan mereka dalam isu-isu dunia seperti perlindungan alam sekitar.

Fuziah berkata, KPDN sebelum ini sudah mengadakan Jualan Rahmah di kampung itu 16 Julai tahun lalu yang menerima reaksi positif masyarakat setempat.

Selain itu, Fuziah berkata antara fokus kerajaan adalah memastikan harga barangan keperluan asas yang dibeli oleh golongan berkenaan terkawal.-BH Online