GUA MUSANG: ‘Terima kasih pengundi kerana memilih saya’.
Demikian ucapan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang itu berkata, kemenangan malam ini bukan kemenangan beliau semata-mata sebaliknya kemenangan parti.
“Ini kemenangan UMNO, bukan kemenangan saya seorang. Apa yang saya mahu katakan adalah terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pimpinan UMNO, jentera parti dan keluarga saya.
“Terima kasih kepada semua pengundi yang memilih saya,” katanya.
Terdahulu, Mohd Azmawi menewaskan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail dengan memperoleh 9,112 undi berbanding PAS 5,741 undi sekali gus BN meraih majoriti 3,372 undi.
PRK DUN Nenggiri membabitkan seramai 20,259 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan calon Perikatan Nasional (PN).
PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, calon BN Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi yang bertanding di bawah tiket PAS mewakili PN dengan majoriti 810 undi.-BH Online