NEW DELHI: Beberapa perjanjian dijangka ditandatangani antara India dan Malaysia semasa lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke New Delhi minggu depan.
Laporan media India berkata isu perdagangan, pelaburan, teknologi, keselamatan serantau, buruh, pertahanan dan pelancongan dijangka menjadi topik utama perbincangan antara Anwar dan rakan sejawatnya, Narendra Modi dalam lawatan pertama Perdana Menteri Malaysia ke India sejak 2018.
Anwar pernah berkunjung ke negara itu pada Januari 2019 untuk menghadiri persidangan di New Delhi dan mengadakan pertemuan dengan Modi ketika itu. Namun lawatan ke India kali ini adalah yang pertama sejak beliau menjadi Perdana Menteri pada 2022.null
Media India menekankan hubungan ekonomi dua hala yang kukuh dengan nilai perdagangan semasa tahun fiskal 2022-2023 (April-Mac) sekitar AS$20 bilion.
“India dan Malaysia sedang dalam proses untuk memperkukuh rangka kerja bagi menjalankan perdagangan dalam mata wang negara,” lapor akhbar Indian Express.
Akhbar itu juga melaporkan kedua-dua pihak sedang memulakan proses untuk menyemak semula Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CECA) yang berusia 12 tahun bagi memasukkan domain dan item baharu.
Topik utama perbincangan adalah pengambilan pekerja India oleh Malaysia.
“Antara perjanjian terpenting yang akan ditandatangani adalah memorandum persefahaman mengenai pengambilan, pekerjaan dan penghantaran pulang pekerja,” lapor akhbar Hindustan Times.
Terdapat 185,000 ekspatriat India di Malaysia menurut laporan itu yang memetik data rasmi.
India satu daripada sumber pelancong utama Malaysia dan menyumbang 671,846 pada 2023, manakala rakyat Malaysia yang melawat India ialah 334,579 pada 2019 sebelum jumlahnya merosot akibat pandemik.
Syarikat penerbangan Malaysia dan India mengendalikan 210 penerbangan mingguan antara India dan Kuala Lumpur yang menawarkan 37,276 tempat duduk.
IHH Healthcare Malaysia melabur dalam hospital di India dan Petronas mempunyai projek penting dalam sektor tenaga.
Syarikat Malaysia mengendalikan projek jalan raya dan lapangan terbang utama di India.
Dalam rangka lawatan sama, Anwar dijadual menyampaikan syarahan bertajuk ‘Towards a Rising Global South – Leveraging on Malaysia-India Ties’ pada Majlis Hal Ehwal Dunia India (ICWA), sebuah badan pemikir yang bernaung di bawah Kementerian Luar semasa lawatannya.-BH Online