SEPANG: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh secara terbuka memohon maaf kepada rakyat Malaysia selepas kontinjen negara sekali lagi gagal membawa pulang pingat emas sulung negara di Sukan Olimpik di Paris 2024.
Hannah yang ditemui media sejurus tiba dari Paris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkata, bagaimanapun kontinjen negara mampu menunjukkan peningkatan prestasi di kota Paris.
“Saya, bagi pihak kontinjen negara, memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana kami belum dapat membawa pulang pingat emas Olimpik untuk Malaysia.
“Seperti yang diumumkan sebelum ini, RTG adalah untuk dua kitaran Olimpik yang merangkumi Paris 2024 dan Los Angeles 2028. Apa yang kami lihat, terdapat peningkatan prestasi daripada atlet RTG.
“Di Paris, kita dapat melihat tiga rekod kebangsaan dipecahkan oleh Azizulhasni, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, dan Aniq Kasdan (angkat berat), sementara Shah Firdaus Sahrom dalam berbasikal dan Syaqiera (Mashayikh) dalam memanah memecahkan rekod peribadi mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Hannah berkata, pihak Jawatankuasa RTG akan mendapatkan laporan daripada setiap pasukan sebelum membentangkannya di Parlimen.
“Jawatankuasa RTG akan mengadakan mesyuarat dan mendapatkan laporan teknikal daripada setiap pasukan di Sukan Olimpik Paris. Kami sedang menyediakan akaun yang akan diaudit dan dibentangkan di Parlimen.
“Kami akan menjawab isu akaun, kami sudah menggunakan dana dengan telus. Semua permintaan dan perkhidmatan tambahan daripada pihak berkepentingan, iaitu jurulatih dan atlet kami sudah sampaikan sebelum mereka berangkat ke Paris,” katanya.-BH Online