Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GUA MUSANG: Negara masih berdepan masalah kekurangan pengeluaran beras susulan musim kemarau yang panjang di Kelantan dan Lembah Kerian, Perak, namun bekalan setakat ini masih mencukupi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata keadaan ini sama seperti di Singapura yang mempunyai bekalan makanan mencukupi kerana membuat pelaburan di luar negara.

“Kita kurang bekalan kerana tidak melabur di luar negara, sebaliknya perlu sediakan (bekalan beras) dalam negara.

“Bagaimanapun, di negara lain kita buat hubungan yang baik supaya kalau berlaku kekurangan beras misalnya, cepat-cepat kita dapatkan tambahan dari Thailand, Vietnam atau negara lain,” katanya selepas program libat urus bersama pemimpin Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gua Musang, di Kampung Jerek, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya setakat ini belum membuat bancian kerugian dialami pesawah susulan cuaca kemarau berpanjangan di Kelantan dan Lembah Kerian, Perak. 

“Jadi, kita tidak dapat menganggar kerugian tetapi berlaku kelewatan penanaman padi seperti di Kelantan.

“Kita cuba mendalamkan kawasan pam air di empangan Kemubu termasuk di seluruh negara. Sabah dan Sarawak juga berpotensi untuk pengeluaran beras pada masa depan, jadi kerajaan perlu berbelanja besar,” katanya.-BH Online