Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JASIN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM1.5 juta bagi membantu kerajaan negeri menganjurkan Karnival Usahawan Desa (KUD)@Festival D’Bendang Melaka tahun depan. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata karnival itu akan dianjurkan secara tahunan bagi menyokong aktiviti pelancongan di kawasan luar bandar, selain membantu Melaka dalam persiapan sambutan Hari Pelancongan Dunia tahun depan serta Tahun Melawat Malaysia pada 2026.

“Ia bukan hanya soal pelancongan domestik atau mengambil pelancong di dalam negeri. Pada 2026, kita akan menganjurkan Tahun Melawat Malaysia, jadi tahun depan kita boleh promosikan festival ini bersama-sama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac),” katanya. 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika ditemui selepas Perasmian Penutup Karnival Usahawan Desa (KUD)@Festival D’ Bendang Melaka 2024 di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai, hari ini. 

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman. 

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata KKDW telah melatih, menyelia, membiayai dan memantau lebih 500,000 usahawan desa dalam pelbagai sektor. 

Beliau berkata kerajaan menerusi Majlis Halal Malaysia juga mengambil langkah bukan hanya untuk mempromosikan produk usahawan, malah turut berjaya mewujudkan ekosistem kondusif bagi meramaikan lagi usahawan dalam sektor industri halal. 

“Saya lihat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) seorang yang komited melihat keadaan ekonomi pada peringkat nasional, negeri, Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN), malah di kawasan kampung juga (berada dalam keadaan terbaik),” katanya.-BH Online