Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Lipis: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggesa jentera kempen bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri (DUN), kerana ia lebih ‘bermakna’ menjelang Perhimpunan Agung Umno 2024 (PAU 2024) pada 21-24 Ogos ini.

Ahmad Zahid berkata, persidangan PAU 2024 yang akan berlangsung empat hari selepas PRK itu menjadi lebih signifikan sekiranya kerusi DUN Nenggiri dapat dimenangi calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, dan dikembalikan kepada Umno. 

“Kekalahan kita dalam PRN (ke-15) di DUN Nenggiri, cuma 810 (majoriti yang diperoleh oleh Mohd Azizi Abu Naim). Datuk Ramli Ramli Mohd Nor (Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat) tahu ramai pengundi Orang Asli tidak keluar, atas sebab tertentu.

“Ramai pengundi di kawasan Kesedar (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan) juga tidak keluar mengundi. Selain itu, sembilan pusat daerah mengundi di kampung tradisional dan satu rancangan Felda Perasu ada masalah, tapi kali ini, Alhamdulillah.

“Kesedar ada lima PDM bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDWN), sembilan kampung tradisional juga di bawah KKDW, serta satu PDM Felda. Kebetulan Perdana Menteri bagi tanggungjawab Felda pada saya, ertinya 20 PDM bawah saya. Tolonglah saya untuk kita tebus maruah kita di Nenggiri pada Sabtu,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Cameron Highlands di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Sungai Koyan di sini hari ini. -Harian Metro Online