KUALA LUMPUR: Malaysia sedia membawa sebahagian rakyat Palestin terutama wanita dan kanak-kanak yang cedera serta sakit untuk dirawat di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata beliau sudah berhubung dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi bagi membantu memudahkan urusan berkenaan.
“Insya Allah, kita akan lakukan sedaya upaya kita dan suarakan pandangan kita tidak kira depan sesiapa.
“Kita akan bantu yang sakit, sama ada dirawat di sana atau dibawa ke mari untuk diberikan rawatan. Kita akan teruskan tanpa tolak ansur.
“Kerajaan akan peruntukkan dana. Saya bincang dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM)(Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour). Saya ucap terima kasih kerana kerjasama yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato pada Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; barisan menteri Kabinet; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan perwakilan asing.
Anwar berkata, lebih 40,000 rakyat Palestin dibunuh, namun Israel yang bertanggungjawab atas kekejaman itu disanjung di Barat dengan terbaru, Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu diberi ruang bercakap di Kongres Amerika Syarikat (AS).
“Demikian kenyataan politik hari ini. Saya tidak mampu berbicara, hati saya juga luka. Pesan juga daripada sahabat saya, Ismail Haniyeh (yang disampaikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Johari Abdul).
“Saya juga bingung, apa lagi yang mampu aku lakukan? Kita tidak ada pilihan. Siapa kata saya berani sangat? Tapi saya hanya mewakili saudara-saudara menjalankan tanggungjawab.
“Saya terfikir dan bimbangkan nasib rakyat dan negara. Saya mahu Malaysia ini gagah, ekonominya hebat dan politiknya stabil, rakyat bersatu-padu dan maju, tapi saya juga ada perikemanusiaan dan tidak mahu rakyat dizalimi dan orang Palestin dijadikan hamba abdi.
“Maka, saya bertanggungjawab bersama saudara-saudara, bangkit memperjuangkan rakyat Palestin,” katanya, disambut tepukan gemuruh lebih 15,000 hadirin yang hadir.
Pada masa sama, Anwar meminta rakyat Malaysia supaya tidak berhenti bercakap mengenai Palestin.
“Jangan berhenti bicara setiap hari. Jangan berhenti bantu dan sedekah untuk meringankan beban dan rakan-rakan kita di Palestin.
“Saya mahu Malaysia terletak di peta sejarah antara negara yang lebih konsisten sungguh-sungguh perjuangkan nasib rakyat Palestin,” katanya.
Terdahulu, ribuan yang hadir menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Mereka tiba di Axiata Arena seawal jam 4 petang, walaupun program hanya bermula secara rasmi dua jam kemudian.
Mereka mengenakan selempang dan membawa sepanduk serta kain rentang tanda sokongan dan solidariti bersama rakyat Palestin yang ditindas Zionis Israel.
Perhimpunan solidariti bersama Palestin kali ini adalah yang kedua diadakan selepas acara sama berlangsung di Axiata Arena pada 24 Oktober tahun lalu, rentetan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran pada Rabu lalu dipercayai dilakukan Zionis.
Antara program dilaksanakan adalah Pidato Solidariti Palestin, bacaan puisi dan persembahan nyanyian, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah.