Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Nilai: Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang akan menawarkan kursus pengajian baharu kejururawatan peringkat diploma diingatkan supaya menekankan kualiti berbanding kuantiti.

Ini susulan moratorium atau pembekuan ke atas penawaran kursus pengajian itu sejak 2010 akan ditamatkan mulai 1 Ogos ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya sudah melakukan persiapan sebelum mengumumkan perkara itu Selasa minggu lalu.

“Moratorium ditarik balik bagi membolehkan kursus ini dibuka semula, namun saya ingin tekankan kursus yang akan ditawarkan kelak tidak seperti sebelum ini.

“Apabila (terdapat) keperluan tenaga jururawat ini sama ada dalaman atau luar negara, kita lihat banyak kolej swasta yang menyediakan kursus ini, tapi akhirnya ada masalah dari segi kualiti.

“Tetapi kali ini memang ada keperluan untuk kita memulakan program kejururawatan, pada masa sama saya mengarahkan kualiti disemak sebaiknya,” katanya ketika ditemui pada Program Karisma Pemikir Madani Siri 2 bersama 120 pensyarah muda politeknik dan Kolej Komuniti di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), di sini, hari ini. 

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dilaporkan berkata, keputusan penamatan itu dibuat Jemaah Menteri pada 5 Julai lalu berikutan beberapa siri perbincangan antara KPT dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai kekurangan jururawat berdaftar di negara ini.

Beliau berkata penamatan moratorium itu bagi mengatasi kekurangan jururawat yang dipengaruhi beberapa faktor antaranya penurunan jumlah IPTS aktif menawarkan kursus berkenaan di peringkat diploma.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, kementerian membuka seluas-luasnya pintu terhadap semua pihak dalam bidang pendidikan tinggi untuk memberikan pandangan terutama dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026.

“Ada ulasan menyatakan kementerian tak buka ruang kepada semua sektor, stakeholder (pemegang taruh) dan mereka yang terbabit dalam bidang pendidikan tinggi untuk kita dengar pandangan mereka.

“Saya jelaskan kita tak menutup pintu langsung. Sebab itu apabila saya dengar pandangan mereka keluarkan dalam akhbar, kelompok akademik, saya buka kepada mereka.

“Saya mengalu-alukan sebarang pandangan untuk kita memantapkan Pelan Pendidikan Tinggi 2026. Kita akan ambil pandangan tokoh tempatan pendidik, pakar, pemikir.. agak berbeza sebelum ini kita guna perunding luar,” katanya.-Harian Metro Online