Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perairan Malaysia harus kekal sebagai kawasan perdagangan yang sentiasa mengalu-alukan kehadiran semua industri maritim global.

Perdana Menteri berkata, perairan negara juga terbuka kepada mana-mana negara yang mahu berdagang dengan Malaysia.

“Sebagai sebuah negara perdagangan, kita perlu berusaha untuk meningkatkan perdagangan dari luar.

“…dan (untuk itu) perairan Malaysia harus kekal sebagai tumpuannya (iaitu) kawasan yang paling mengalu-alukan kehadiran semua industri maritim, terutama kepada semua negara yang ingin terus berdagang bersama kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Minggu Maritim Malaysia 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Tambah Anwar lagi, atas sebab itu juga dalam pertemuan beliau bersama Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov baru-baru ini, Malaysia menyatakan minat untuk menyertai kesatuan ekonomi dipelopori Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS).

“Ia (penyertaan dalam BRICS) sebagai menzahirkan komitmen negara ini yang mahu menjadikan perairannya sebagai laluan penting kepada perdagangan dari barat dan timur,” katanya.

Bagi memenuhi hasrat itu, Anwar berkata kerajaan bersama pemain industri maritim perlu mengukuhkan kerjasama dan komitmennya dalam meningkatkan keupayaan dan fasiliti pelabuhan negara. 

Beliau berkata, sewajarnya sebagai negara matitim juga, Malaysia harus berasa gusar kerana perkembangan industri berkenaan ketika ini tidak setimpal dengan kekuatan asas yang ada, termasuk legasi sejarahnya sejak dulu. 

“Justeru, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan perlu menyelaraskan usaha mereka dan memberikan apa saja yang diperlukan untuk memberikan sokongan supaya industri maritim ini menjadi lebih kuat, di samping perniagaannya yang lebih berdaya tahan,” katanya.

Anwar berkata, ketika ini 80 hingga 90 peratus eksport Malaysia dipacu menerusi pengangkutan laut atau maritim, sekali gus menunjukkan industri ini cukup penting dan berdaya saing.

“Kami berbangga untuk mengatakan bahawa pelabuhan seperti Pelabuhan Klang, PTP (Pelabuhan Tanjung Pelepas) dan (pelabuhan di) Pulau Pinang antara yang muncul sebagai pelabuhan paling berdaya saing.

“Saya percaya dengan sokongan industri ini, kita boleh memastikan bukan saja kita berada di kedudukan 20 teratas (sebagai pelabuhan terbaik dunia), tetapi mungkin boleh mencapai sepuluh teratas kerana kita mempunyai potensi,” katanya.-BH Online