Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SANDAKAN: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi membina semula jambatan gantung di Penampang dan Tuaran yang rosak akibat banjir, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah segera itu adalah sebagai tindakan proaktif kerajaan susulan bencana banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini sejak 30 Jun lalu.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata

bantuan itu disalurkan menerusi peruntukan Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

Katanya, berdasarkan perincian laporan yang diterima, kejadian terbabit menjejaskan kehidupan 485 mangsa di kedua-dua daerah berkenaan selain Putatan.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana, saya mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menempatkan tiga set jambatan Keluli Bermodular (Bailey Bridge) sepanjang 39 meter dan mampu menampung beban seberat 50 tan pada satu-satu masa. 

“Kemudahan ini adalah langkah persediaan sekiranya wujud keperluan segera bagi menggantikan jambatan runtuh.

“Saya juga telah mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk melakukan kajian di kawasan tanah runtuh berdekatan kaki Gunung Kinabalu di Mesilau, Kundasang berikutan hujan lebat berterusan pada 23 Jun lalu. 

“Tindakan ini akan turut diselaraskan oleh NADMA bagi mengenal pasti tindakan berkaitan yang perlu diambil,” katanya dalam satu kenyataan selepas sesi taklimat kejadian bencana dan laporan kewangan negeri Sabah di Hotel Livingston Hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Datuk Aminurrahim Mohamed.

Ahmad Zahid berkata pihaknya juga sudah mengarahkan JMG meletakkan pengesan pergerakan di cerun kaki Gunung Kinabalu serta kawasan tumpuan penduduk serta pelancong.

“Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut diminta melaksanakan pemeriksaan dengan lebih kerap dan mengenal pasti jalan yang terputus hubungan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata pada masa sama, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM10 juta bagi menangani kesan cuaca kemarau di seluruh negara dan Sabah adalah antara negeri terjejas. 

Katanya, kemarau dilaporkan mula melanda pada pertengahan Mac dan berakhir pertengahan Mei lalu sekali gus menyebabkan berlaku kekurangan bekalan air bersih di beberapa kampung.

“Kerajaan amat prihatin terhadap nasib yang menimpa golongan petani di Sabah apabila tanaman masing-masing tidak mengeluarkan hasil sepatutnya akibat kesan cuaca panas.

“Kerajaan Persekutuan menggerakkan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Negeri Sabah pada akhir Mac lalu. Langkah itu merupakan antara usaha bersepadu kerajaan bagi mengurangkan impak cuaca panas di kawasan terjejas manakala OPA kedua akan dilaksanakan sekiranya keadaan didapati belum pulih sepenuhnya.

“Kerajaan Persekutuan berharap segala usaha ini berkesan dalam membantu dan melancarkan kelangsungan hidup rakyat Sabah mendepani situasi banjir sertakesan cuaca kemarau pada masa akan datang,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata berkata segala langkah dan tindakan difikir wajar akan diambil mengikut keperluan kerana kesejahteraan rakyat di negeri Sabah sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.-BH Online