Malaysia mengalu-alukan keputusan bersejarah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memihak kepada Palestin.
Keputusan Mahkamah disampaikan melalui Pendapat Nasihat berkaitan dengan Kesan Perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, semalam.
Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan, berkata keputusan ICJ itu mengesahkan hujah perundangan Malaysia yang dibentangkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa di mahkamah berkenaan 22 Februari lalu.null
“Malaysia menggesa semua negara supaya mendesak Israel menerima dan mematuhi keputusan ICJ dan segera menghentikan segala sokongan mereka kepada Israel daripada meneruskan pendudukan haram di Wilayah Palestin,” katanya.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa dengan majoriti yang amat besar memutuskan bahawa pendudukan Israel yang berterusan di wilayah Palestin yang diduduki adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa dan harus dihentikan dengan segera.
Semua aktiviti pendudukan baharu harus ditamatkan dan segala kemusnahan diberi pampasan.
“Keputusan mahkamah ini menegakkan hak mutlak rakyat Palestin dalam menentukan nasib sendiri. Tindakan dan dasar-dasar Israel didapati melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.
Malaysia akan terus menyokong dan memperjuangkan pembentukan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan persempadanan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, selain daripada Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ia berkata mahkamah itu turut menekankan tanggungjawab bersama semua negara dan organisasi antarabangsa dalam menamatkan pendudukan haram Israel. – BERNAMA