Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan sedang meneliti semula semua perjanjian sedia ada berhubung penjualan air mentah kepada Singapura, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa Malaysia memberikan ‘subsidi’ kepada Singapura dengan menjual air mentah 250 juta gelen sehari pada kadar hanya 3 sen (SG$ 1 sen) bagi setiap 1,000 gelen sejak 1962.

“Kena tanya balik Tun M (Dr Mahathir)… masa dia jadi Perdana Menteri dulu, benda itu masih berlaku kan?

“Jadi, sama ada kita bagi subsidi atau tidak, kita sedang melihat balik semua perjanjian yang ada,” katanya yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, pada sidang media selepas merasmikan Water Malaysia 2024, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir mendakwa bahawa sejak 61 tahun lalu dari 1962 hingga 2023, Kerajaan Malaysia memberi ‘subsidi’ kepada Singapura hingga mencecah jumlah RM2.379 bilion.

Justeru, beliau secara sinis memberikan nasihat agar kerajaan terus membantu Singapura dengan menjual air berharga 3 sen hingga kiamat.

Sebelum ini, Singapura bersetuju membayar 45 sen bagi setiap 1,000 gelen hingga 2011, dan 60 sen mulai 2011 hingga 2061 yang akan berterusan hingga 100 tahun selepas itu.

Bagaimanapun, republik itu kemudian menolak apabila Kerajaan Malaysia dilapor mengenakan syarat bahawa Singapura perlu membayar 60 sen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 hingga 2011.

Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri pernah membangkitkan isu berkenaan pada pertengahan 2019 dengan menyatakan harga air mentah yang dijual kepada Singapura adalah tidak munasabah, serta bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian terbabit.

Perjanjian itu yang berakhir pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Johor kemudian membeli semula air terawat daripada republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.-BH Online