Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia dan Uzbekistan senada mahu menyegerakan kerjasama antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, tenaga, pelancongan serta pendidikan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri memaklumkan, ia adalah antara perkara dinyatakan dalam panggilan telefon daripada Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev, kepada beliau, tengah hari tadi.

“Selain bertanya khabar, kami sempat membicarakan serta menilai kemajuan pelbagai perkara yang dipersetujui bersama ketika kunjungan saya dan delegasi Malaysia ke Uzbekistan pada Mei lalu.

“Kami juga senada untuk menyegerakan urusan terkait kerjasama Malaysia-Uzbekistan dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, tenaga, pelancongan dan pendidikan,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, hari ini.

Selain itu, Anwar turut mengulangi jemputan kepada Shavkat untuk berkunjung ke Malaysia secepat mungkin, bagi memperkukuh lagi kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Mengenai cadangan penganjuran Persidangan Imam Bukhari oleh Kerajaan Uzbekistan sebelum ini pula, Anwar turut menzahirkan komitmen Malaysia untuk bekerjasama menjayakan usaha murni berkenaan.

Perdana Menteri juga menzahirkan penghargaan Malaysia terhadap dukungan berterusan Uzbekistan dalam konflik dan perjuangan menuntut keadilan buat rakyat Palestin, selain isu kemanusiaan serta geopolitik di Afghanistan.

Pada Mei lalu, Anwar mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Uzbekistan atas jemputan Shavkat. Malaysia dan Uzbekistan menikmati hubungan rapat yang terjalin sejak 1992.

Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia-Uzbekistan ialah RM451.1 juta (AS$94.03 juta), dengan eksport ke Uzbekistan mencecah RM449 juta (AS$93.6 juta) dan import pula RM1.99 juta (AS$414,518). – BERNAMA