Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, mencadangkan undang-undang baharu dipertimbang bagi meletakkan tanggungjawab kepada pemilik platform media sosial atas penyalahgunaannya, termasuk kes membabitkan buli siber.

Gobind berkata, pada mesyuarat Kabinet kelmarin, beliau bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, membangkitkan isu buli siber terutama berkait kes kematian pempengaruh TikTok, A Rajeswari atau lebih dikenali sebagai Esha, baru-baru ini.

“Saya juga mencadangkan agar undang-undang baharu dipertimbang untuk meletakkan tanggungjawab terhadap tuan punya platform, bagi memastikan tiada penyalahgunaan berlaku dan sekiranya ada, tindakan segera boleh diambil untuk menghalang keadaan sedemikian daripada berterusan.

“Kita perlu menghantar signal jelas bahawa kita serius dalam mencari jalan penyelesaian untuk masalah ini, dan semua pihak berkaitan mempunyai peranan penting yang perlu dilaksanakan bagi tujuan itu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, undang-undang sedia ada khususnya Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan serta Akta Jenayah Komputer sememangnya wujud dan boleh dikuatkuasakan.

“Kami perlu memastikan platform yang didirikan adalah selamat dari sudut keselamatan siber, perlindungan data peribadi dan yang penting sekali, ia tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.

“Kes buli siber mesti dipandang serius dan ditangani dengan segera. Kita harus memastikan undang-undang digubal untuk mengelak berlaku sebarang penyalahgunaannya dan sekiranya berlaku, tindakan pantas harus diambil,” katanya.

Sehubungan itu, Gobind berkata, kementeriannya menyokong usaha Menteri Komunikasi untuk memperkukuh perundangan sedia ada atau memperkenalkan undang-undang baharu yang berkaitan pada masa depan.

Kelmarin, Fahmi pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, memaklumkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap kes membabitkan buli siber.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, Perdana Menteri menzahirkan perasaan kecewa berikutan kes buli siber yang membawa kepada kematian seorang pempengaruh TikTok, baru-baru ini. – BERNAMA