Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Institusi Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja simbolik kepada kedaulatan negara malah menjadi titik rujukan semangat kenegaraan yang utuh dan lambang kehidupan harmoni masyarakat majmuk di Malaysia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata peristiwa penuh bersejarah Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim yang bakal berlangsung pada 20 Julai ini akan memperkuat nilai perpaduan, jati diri dan semangat kenegaraan dalam diri setiap rakyat Malaysia terutama generasi muda.

Beliau berkata, istiadat itu adalah antara bukti keunikan sistem Raja Berperlembagaan dinaungi Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara yang memayungi serta menyatukan rakyat dengan rencam budaya dan agama dalam sebuah negara berdaulat, merdeka serta harmoni.nullnull

“Peristiwa ini (istiadat pertabalan) mengingatkan kembali masyarakat dan negara bahawa berdirinya Malaysia adalah di bawah payung konsep Raja-Raja Melayu khususnya institusi Yang di-Pertuan Agong.

“Kita mahu pastikan generasi Alfa ini (generasi abad 21) faham bahawa mereka dilahirkan dalam suasana dan dalam satu negara yang penuh dengan adab, adat, budaya, rasa hormat dan ketertiban.

“Apabila mereka menyaksikan istiadat ini, menimbulkan rasa kagum membuatkan generasi muda faham bahawa ada nilai ketinggian atau konsep dalam negara yang meletakkan penghormatan tertinggi kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata Fahmi yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Istiadat Pertabalan Payung Mahkota, Daulat Bertakhta’ terbitan Bernama TV yang disiarkan malam ini.

Program itu turut menampilkan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini sebagai panel jemputan.

Edisi khas yang bersiaran selama satu jam itu adalah sempena istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata sistem dan institusi Yang di-Pertuan Agong yang menjadi tunjang kestabilan negara juga antara faktor utama dalam menarik minat pelaburan asing.

“Dengan adanya sistem ini, tidak timbul isu kestabilan sosial malah memberi keyakinan kepada pelabur bahawa Malaysia sebuah negara yang aman dan damai untuk pelaburan. Di peringkat rakyat juga, ia akan menyuburkan hubungan rakyat dan raja bagaikan akar dan pohon yang saling melengkapi… rakyat dan raja berpisah tiada,” katanya.

Beliau juga berkata, liputan media sempena istiadat itu akan dilaksana secara besar-besaran dengan persiapan yang rapi melibatkan semua agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan agensi media.

Fahmi berkata, usaha tersebut adalah bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia termasuk mereka yang menetap di luar negara dapat menyaksikan peristiwa bersejarah dan penting itu.

Acara-Acara bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan bermula pada 18 Julai ini dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara diikuti Khutbah Jumaat khas yang memberikan penjelasan serta peringatan kepada umat Islam mengenai kepentingan Institusi Raja Berperlembagaan pada 19 Julai.

Masjid di Wilayah Persekutuan dan negeri yang tiada Raja atau Sultan akan menggunakan teks khutbah itu manakala yang lain tertakluk pada perkenan Raja atau Sultan masing-masing.

Pada malam 20 Julai akan berlangsung Majlis Santapan Diraja di Istana Negara. 

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai manakala Pameran Raja Kita di Muzium Negara diadakan pada 25 Julai sebelum acara-acara sempena Istiadat Pertabalan diakhiri dengan Jamuan Teh Diraja di Istana Negara pada 27 Julai. – BERNAMA