Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan yang keselamatan kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 sentiasa menjadi keutamaan pihaknya. 

Paris dilanda pergolakan politik selain ibu kota Perancis itu sering dikaitkan dengan isu mogok dan bagi KBS, mereka akan sentiasa berhubung dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi mendapatkan maklumat terkini situasi di sana.

“Keselamatan atlet dan kontinjen termasuk staf sokongan yang pergi (ke Paris)… itu adalah keutamaan kepada kita,” kata menterinya, Hannah Yeoh kepada media selepas Majlis Ramah Mesra bersama peserta Projek Reben Kuning 2024 di Penjara Wanita Kajang, hari ini.

“Kita akan menerima maklumat daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana mereka ada informasi daripada IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa). 

“Kita kena tunggu (situasi)… kita ada buat persiapan tetapi setakat ini, memang kita difahamkan semuanya sudah diberikan taklimat (keselamatan). 

“Ketua kontinjen (Datuk Hamidin Mohd Amin) dan Timbalan Ketua Kontinjen, Datuk Nicol (Ann David) sudah mengikuti taklimat di Paris dan saya percaya kalau semuanya berjalan lancar, semuanya akan OK.”

Sebelum ini, Perancis dilaporkan dilanda pergolakan politik tiga minggu sebelum menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, menjadikannya sukar untuk mengetahui siapa yang akan berada di posisi penting kerajaan apabila temasya itu dibuka pada 26 Julai ini.

Nasib Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin yang mengawasi semua persiapan keselamatan untuk Sukan Olimpik juga didakwa berada dalam keadaan tidak menentu.-BH Online