Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Keir Starmer dan Parti Buruh kerana meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya United Kingdom (UK).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau melihat ke hadapan untuk bekerjasama dengan Starmer dan pasukannya dalam membangunkan hubungan strategik baharu antara kedua-dua negara.

“Hubungan strategik baharu yang dibina atas keterangkuman, kesaksamaan, saling hormat-menghormati, “people-to-people connection” dan visi bersama untuk masa depan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Parti Buruh menepati ramalan apabila memenangi Pilihan Raya UK 2024 selepas meraih majoriti mudah dan kini dalam proses untuk memenangi majoriti Parlimen yang besar.

Parti pembangkang tersebut menumbangkan pemerintah Konservatif yang berkuasa selama 14 tahu sekaligus bakal menyaksikan Starmer menjadi Perdana Menteri baharu.

Anwar seterusnya berkata, kerjasama antara Malaysia dan Britain adalah sesuatu yang berkekalan, terjalin melalui sejarah dan diperkukuh oleh ikatan rapat persaudaraan.

Kata beliau, penyertaan Britain dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) meluaskan ufuk perkongsian ekonomi kedua-dua negara.

“Perjanjian Pertahanan Lima Negara berfungsi sebagai asas untuk keselamatan bersama kita, meningkatkan kestabilan serantau dan memupuk kerjasama pertahanan yang lebih erat,” katanya. – KOSMO! ONLINE