Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran tegas kepada semua peniaga terutama yang menyediakan kemudahan pembayaran tanpa tunai supaya tidak mengenakan caj tambahan dalam setiap transaksi pengguna.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata peraturan dan undang-undang itu jelas serta perlu dipatuhi oleh setiap peniaga dan sekiranya ada kalangan mereka didapati mengambil kesempatan mengenakan caj tambahan, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kita ingin menegaskan kepada peniaga supaya menjalankan perniagaan mereka mengikut etika, peraturan dan undang-undang. Undang-undang tidak membenarkan sekiranya (pembayaran) menggunakan Kod QR (Kod Respons Pantas), transaksi tanpa tunai ini, caj tambahan tidak boleh dikenakan kepada pelanggan.null

“Itu peraturan ditetapkan Bank Negara. Kita akan ambil tindakan sekiranya terdapat peniaga yang mengenakan caj tambahan kepada pengguna yang menggunakan pembayaran tanpa tunai,” katanya kepada pemberita selepas menghadari program penyerahan bas dan lori sebuah syarikat swasta di sini hari ini.

Rabu lalu, KPDN Melaka mengenakan kompaun RM200 kepada sebuah gerai menjual makanan apabila didakwa mengenakan caj tambahan sebanyak satu peratus bagi setiap transaksi penggunaan Kod QR.

Armizan berkata, masyarakat tanpa tunai adalah satu trend global dan penggunaan pembayaran tanpa tunai turut digalakkan bukan hanya di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

Sehubungan itu, katanya tidak ada sebarang akta atau peraturan yang menghalang mana-mana premis perniagaan sekiranya hanya ingin mengkhususkan transaksi dalam bentuk pembayaran tanpa tunai sahaja.

“Jadi maksudnya tiada larangan kerana ia adalah keputusan peniaga sama ada mereka memberi pilihan atau tidak kepada pengguna untuk menggunakan pembayaran tanpa tunai atau secara tunai.-BH Online