Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Program Asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuka ruang kepada pelajar-pelajar aliran sastera dan kemanusiaan untuk memasuki bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekali gus menjamin tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan sains.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya sentiasa mencari pendekatan yang luas dan fleksibel agar sistem pendidikan tinggi di negara ini tidak lagi hanya berteraskan kampus atau universiti.

“Sebab itu kerajaan memperkenalkan dan memberi penekanan kepada program TVET. Ia bukan hanya kursus-kursus teknikal yang rendah tarafnya.

“Malah kita mahu mempertingkatkan taraf TVET termasuk dalam bidang kejuruteraan dan bidang teknikal penting yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi dengan Industri Elektrik dan Elektronik (E&E) di sini hari ini.

Beliau menjelaskan Program Asasi TVET di Politeknik membuka ruang kepada pelajar aliran sastera dan kemanusiaan yang mendapat kelulusan baik dalam mata pelajaran sains dan matematik, seterusnya melatih mereka supaya bersedia untuk berada dalam industri.

Pendekatan kreatif tersebut boleh menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja yang diperlukan oleh industri tertentu dalam negara, tambah beliau.

Mengenai Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi dengan Industri E&E hari ini, Datuk Seri Zambry berkata, ia dianjurkan khas bagi perbincangan dua hala mengenai keperluan sektor itu termasuk dari aspek penawaran tenaga kerja dan tawaran pekerjaan yang dihadiri oleh peneraju industri, dekan-dekan E&E universiti di Malaysia dan pelajar yang terlibat dalam Inkubator Penyelidikan dan Industri-Infused (MRI3) KPT Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau turut menyaksikan majlis penyerahan cek simbolik daripada rakan industri kepada USM, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjumlah lebih RM5 juta untuk menzahirkan kerjasama strategik antara industri dan institusi pendidikan tinggi dalam membangunkan bakat masa depan.- BERNAMA