Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan melaksanakan pelbagai dasar untuk memastikan tadbir urus yang telus dalam melestarikan alam sekitar. 

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata kerajaan juga mewujudkan dasar bagi mengurangkan pelepasan karbon.

Ia termasuk memperkenal dasar berkaitan bagi menggalakkan kesaksamaan sosial, di samping mewujudkan peluang pertumbuhan baharu dalam ekonomi hijau. 

“Untuk tujuan ini, kerajaan telah memperuntukkan dana yang besar ke arah tenaga boleh diperbaharui, melabur dalam sumber tenaga yang bersih dan mampan. 

“Dalam pertanian mampan, kita menyokong amalan pertanian mesra alam demi memastikan kesihatan awam untuk jangka panjang. 

“Tambahan pula, kita sedang membangunkan penyelesaian pengangkutan hijau untuk mengurangkan kesan alam sekitar untuk meningkatkan kesalinghubungan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini. 

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata inisiatif yang diterajui pimpinannya menandakan komitmen tidak berbelah bahagi pentadbiran Kerajaan MADANI. 

Ia khususnya dalam mengurangkan jejak karbon negara selain menggalakkan amalan mampan. 

“Bersama-sama kita boleh membina Malaysia yang lebih mampan dan saksama untuk generasi akan datang,” katanya.-BH Online