Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarah memulakan proses menentu dan melantik syarikat penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (MNO) yang akan membangunkan rangkaian 5G kedua di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata arahan itu termasuk mengeluarkan Pakej Maklumat Pemohon (AIP) pada 1 Julai ini.
“Kementerian Komunikasi menyambut baik pengumuman daripada Digital Nasional Berhad (DNB) berkenaan penyempurnaan syarat duluan bagi ‘Share Subsription Agreement’ (SSA) bersama CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications untuk memegang saham dalam DNB.
“Ini antara langkah utama ke arah peralihan kepada model dwirangkaian 5G di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Fahmi berkata, proses terbabit akan dilaksanakan secara telus berdasarkan kuasa dan peruntukan yang termaktub di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, Kementerian Komunikasi komited melaksanakan keputusan kerajaan supaya negara beralih kepada model dwirangkaian 5G.
“Ia penting dalam usaha untuk menamatkan unsur monopoli perkhidmatan 5G, sekali gus memacu hala tuju industri telekomunikasi yang lebih berdaya saing dan mapan,” katanya.
Fahmi juga berkata, pelaksanaan rangkaian 5G kedua itu akan dapat membantu usaha meningkatkan liputan internet lebih pantas, mewujudkan persaingan sihat dalam sektor telekomunikasi serta memastikan harga pelan dan mutu perkhidmatan yang baik untuk rakyat.-BH Online