Krisis Perlembagaan tidak akan berlaku walaupun Speaker Dewan Rakyat memutuskan enam Ahli Parlimen daripada BERSATU yang digugurkan keahlian parti, kekal pada kedudukan mereka sehingga habis penggal.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor, berkata berdasarkan pandangan peribadinya tersendiri, krisis Perlembagaan tidak akan berlaku memandangkan Speaker Dewan, sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat sememangnya diberikan kuasa itu.
Beliau berkata, tidak semestinya tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri perlu diikuti, tambahan pula kata putus sebenar berkaitan pengosongan kerusi itu boleh dikemukakan ke mahkamah.
“Ini pandangan peribadi saya ya, bukan pandangan (rasmi) Parlimen Malaysia. Apa-apa sekali pun yang diputuskan, kosong (kerusi) atau tidak, yang berkuasa memutuskannya adalah Speaker dewan yang berkenaan. (Kalau) di Kelantan, Speaker DUN yang berkaitan.
“Apa yang saya ingin nyatakan sebagaimana pernah saya nyatakan sebelum ini…. Tindakan pertama adalah perlu parti yang berkenaan memajukan pemakluman kepada Speaker Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul). Speaker, berpandukan Perlembagaan dan undang-undang sedia ada, akan memutuskan sama ada kerusi itu kosong atau tidak.
“Dan apa yang kita sudah tahu, sekarang surat (notis) itu dari pihak PPBM (BERSATU) sudah sampai kepada kita. Speaker (akan memutuskan) sama ada itu berlaku atau tidak (pengosongan kerusi). Kalau sudah berlaku ia diputuskan oleh speaker nanti.
“Tak semestinya (harus ikut), kerana kata putusnya masih di peringkat mahkamah yang akan menentukan sama ada perkara ini dibawa ke mahkamah atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Batin dan Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKPPOA) Peringkat Perak dan Kedah tahun 2024 di Dewan Saidina Umar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), di sini hari ini.
Ramli yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, berkata demikian sewaktu ditanya sama ada Speaker Dewan Rakyat perlu mengikuti langkah Speaker DUN Kelantan yang mengumumkan kekosongan kerusi DUN Neggiri susulan DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada BERSATU.
Ramli ditanya sama ada krisis Perlembagaan akan timbul jika langkah serupa tidak diambil oleh Speaker Dewan Rakyat sebagaimana dakwaan segelintir pihak.
Hari ini, media turut melaporkan Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengikuti jejak langkah DUN Kelantan dalam memutuskan nasib enam kerusi Parlimen disandang wakil BERSATU yang sudah diputuskan terhenti keahlian dalam parti.
Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Wan Saiful Wan Jan, dilapor berkata jika ‘precedent’ pengosongan kerusi sebagaimana yang berlaku ke atas kerusi DUN Nenggiri, Kelantan itu tidak dituruti, kemungkinan tercetus satu krisis Perlembagaan yang serius akibat tidak mengikut duluan yang sudah diputuskan.
Semalam juga, dilaporkan bahawa ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim, menyifatkan tidak terkejut dengan pengumuman yang dibuat berhubung kekosongan kerusi yang disandangnya, sambil menambah bahawa beliau akan membawa kes itu ke mahkamah serta mengadakan perbincangan dengan peguam berhubung keputusan yang dibuat oleh Kelantan.
Media sebelum ini melaporkan, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN BERSATU sudah tergugur keahlian masing-masing secara serta-merta.
Enam mereka adalah Mohd Azizi sendiri yang juga merupakan Ahli Parlimen Gua Musang; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) dan Zahari Kechik (Jeli),-BH Online