Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Satu perkhabaran baik untuk rakyat berkaitan barangan makanan akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut yang akan diumumkan Anwar yang juga Menteri Kewangan.

“Ada berita baik daripada Perdana Menteri. Tidak lebih daripada itu. Kita tunggu Perdana Menteri.

“Ia menunjukkan apabila kita ada kerjasama yang baik dari sektor industri dan ada persefahaman bahawa niat kita adalah untuk rakyat, kita berupaya untuk membuat pengumuman seperti yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri esok,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian pada Majlis Perasmian Mydin Mart Pantai Dalam dan Penyerahan Sumbangan Aidiladha di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Anwar bukan hanya akan menyantuni rakyat, tetapi turut menyelesaikan perkara yang dihadapi.

“Yang cuba kita perbetulkan adalah kelemahan dalam sistem yang sudah terlalu lama diambil kesempatan oleh kumpulan-kumpulan yang tidak patut mengambil kesempatan.

“Insya-Allah yang akan dilakukan bukan untuk hanya kita fokus hari ini, tetapi masa hadapan lebih baik,” katanya.-BH Online